19 October 2009

MENINGKATKAN INGATAN MELALUI TEKNIK MNEMONIK


Secara umumnya, mnemonik adalah alat membantu akal untuk mengingat sesuatu. Perkataan mnemonik (mnemonic) adalah daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘ untuk mengingati’.

Mnemonik telah mula digunakan sejak lebih seribu tahun yang lalu oleh Yunani dan Rom. Bangsa Yunani kuno terlalu memuja kemampuan ingatan sehingga mereka mempunyai dewa yang bernama Mnemosyne, bermaksud '’berfikir dengan teliti’. Pelbagai strategi ingatan dirancang oleh mereka untuk membantu mengingat maklumat, bertujuan menarik perhatian pendengar ketika berpidato atau berdebat di Senat.

Perkataan mnemonik moden merujuk kepada teknik memacu ingatan untuk mengingati fakta- fakta dengan mengaitkannya dengan maklumat dan data sedia ada yang lebih ringkas dan mudah. Beberapa teknik mnemonik moden telah disusun secara sistematik oleh Michael Perssley dan Joel Levin.

Daripada teknik ini, apa yang difahami ialah apabila ia digunakan untuk mengingat sesuatu, proses ingatan akan menjadi lebih mudah. Mnemonik menggunakan prinsip asosiasi, iaitu informasi yang ingin diingati dikaitkan dengan informasi yang lain yang mudah diingat. Antara teknik mnemonik yang biasa digunakan ialah kaedah loci, sistem kata kunci, teknik menghubungkan, teknik akronim dan teknik akrostik.

Selain daripada memudahkan ingatan, teknik ini dirasakan sangat membantu mengingati fakta – fakta yang banyak dan rumit serta meningkatkan input ingatan, mengurangkan tekanan minda dan membantu meluaskan skop ingatan dalam kadar yang maksima.

Dalam proses memahami diri dan orang sekeliling, teknik ini memberi kesedaran kepada saya bahawa kemampuan ingatan sebenarnya dapat ditingkatkan, minda ini dapat mengingati sesuatu lebih banyak daripada yang dijangkakan serta dengan menggunakan teknik yang sesuai akan memudahkan proses ingatan.

Melalui pengamatan saya, didapati ramai yang tidak menggunakan minda untuk mengingati sesuatu dengan sebaik mungkin. Mereka lebih gemar mengingati sesuatu dengan cara hafalan atau merujuk kepada bahan rujukan dan sebagainya tanpa berpandukan kepada apa – apa teknik ingatan. Antara faktor kegagalan tersebut ialah tidak terdedah kepada teknik yang sesuai sedangkan ianya sangat membantu dalam menjalani kehidupan seharian. Selain daripada itu, sikap malas untuk mencuba teknik – teknik yang membantu ingatan juga merupakan salah satu sebab mengapa ramai mempunyai tahap ingatan yang lemah.

Justeru, kegunaan teknik mnemonik pada masa sekarang dan akan datang sangat diperlukan terutama kepada saya sebagai pelajar yang perlu mengingati pelbagai fakta penting. Ada antara fakta tersebut sukar untuk diingati kerana terlalu panjang dan berbagai. Sebagai contoh mudah, dalam mengingati urutan ukuran panjang dalam sistem metrik, saya menggunakan teknik mnemonik dengan menggunakan ayat; Maka Cina Dengan Melayu Duduk Hampir Kilang. Ini adalah teknik akronim bagi urutan ukuran metrik: Milimeter, Centimeter, Decimeter, Meter, Decameter, Hektometer dan Kilometer.

Begitu juga dalam mempelajari bahasa asing, teknik mnemonik sangat membantu mengingati perkataan baru dan ertinya. Sebagai contoh, bagi mengingati perkataan pintu, cermin dan memukul dalam bahasa Arab adalah dengan menggunakan perkataan yang sama bunyinya dengan bahasa Melayu. Jadi pintu (baa-bun) sama bunyinya dengan haiwan babun (babun di pintu), cermin (mer-ah) sama bunyi dengan merah (cermin warna merah) dan memukul (doroba) sama bunyinya dengan nama pemain bola sepak Drogba (Drogba memukul pemain bola).

Manakala dalam menjalani aktiviti seharian, antaranya ketika hendak membeli barangan rumah di kedai, dengan kaedah loci saya membayangkan perkakas di rumah dengan mengikut lokasi kedudukannya bagi membantu mengingati barang - barang yang ingin dibeli. Sebagai contoh, saya membayangkan mesin basuh, dapur masak, sinki, bekas rempah ratus dan peti ais. Ini akan membantu mengingati untuk membeli sabun pencuci kain, minyak masak, span membasuh pinggan, garam dan stok ikan.

Kesimpulannya, ingatan sebenarnya boleh dipertingkatkan sekiranya kita menggunakan teknik yang sesuai. Antara teknik yang sangat membantu itu ialah teknik mnemonik.

14 October 2009

USM dalam coretan kenangan

Banyak sangat kenangan di USM.. tidak disangka - sangka USM menjadi permaidani hamparan seribu satu kenangan. Tidak sangka juga USM melakar sejarah tersendiri dalam melayari hidup ini dan akan terus melayarinya sehingga ke akhir hayat.

Betapa sesuatu itu di dalam perancangan dan takdir Allah. Betapa doa itu adalah kekuatan senjata melawan musuh dalaman diri dan luaran.. dan betapa kekuatan kesabaran dan kesetiaan teruji dan diangkat setinggi kegahan menara gading itu.

Seringkali diingatkan oleh sanubari ini, sesuatu yang sedang berlaku adalah peristiwa yang tidak akan berulang buat sekian kalinya. Sesuatu yang telah berlaku pasti tidak akan sama seumpamanya. Satu kenangan adalah sebuah memori yang tersimpan dalam lipatan catatan perjalanan hidup yang adakalanya persis perut lorong kelam tanpa sedikitpun pancaran cahaya.

Adakalanya coretan perjalanan itu dipenuhi warna - warna pelangi yang menyinar silau, penuh irama - irama gembira, ceria dan bahagia. lagak rentak bahagia tercerna lalu menghapuskan kelam gelap yang seakan tidak mahu terhapus daripada sudut jauh ingatan dan igauan itu, seolah tersingkap tabir lapis gelap dipentas kehidupan.

Kenangan di USM mengimbau helaian - helaian perjalanan manusiawinya kemanusiaan dan harapan - harapan seorang manusia yang berkehendak kepada sebuah mahligai abadi yang ingin dipalit dalam kanvas kehidupan, seindah mahligai kota cinta Agra.

Imbauan pautan ingatan dalam retak hati dan kembang mekarnya bunga kecewa kembali disirami embun kecil di awal sirna mentari, membuahkan bibit bunga kasih yang lebih indah dan terserlah keindahannya.

Imbauan ingatan di USM seolah mengajar erti sebenar nilai kesetiaan, pilihan dan perasaan. Batu - batu keinginan dan kehendak menghempas cermin kasih. Namun, deraian cermin itu terpaut bersama kesan garis - garis retak. Tangan kecil yang datang bersama harapan baru mengutip cebisan cermin yang hampir sahaja tenggelam dalam lumpur silamnya.

Mahligai Cinta abadi Agra tersemi di USM!

13 October 2009

Buku Tafsir Al-Quran 7 dalam 1




Kitab tafsir keluaran Bandung, Indonesia yang menarik. Bahasa mudah difahami, mengandungi pelbagai maklumat berkaitan setiap ayat yang dipaparkan, sama ada maksud perkataan, tafsir ayat, asbab al-nuzul (sebab - sebab penurunan), tajwid, index makna dan index perkataan.

Saya galakkan semua memilikinya sebagai panduan dan rujukan untuk mendapatkan intipati al-Quran dengan lebih mudah dan segera.

Harga pasaran RM 200. Tetapi oleh kerana saya dapat daripada sahabat daripada Bandung sendiri, harganya hanya RM 185.00.

SMS: 019-9895135 untuk penghantaran.

04 October 2009

Wahai Bagan Pinang ...Ini Nikmat Di Bawah Naungan Purnama

Alangkah nikmat dan bahagianya rakyat sebuah negeri yang dipimpin oleh pemimpin - pemimpin yang sejuk mata memandang dan sedap telinga mendengar.

Sejuk mata memandang sikap mereka yang sporting, tawaduk, biasa-biasa sahaja, senang dibawa berbincang. Sejuk mata memandang penampilan mereka yang sangat sederhana. Raut wajah mereka ada cahaya solat. Senyum mereka penuh keikhlasan. Turun bendang, naik rumah usang, papah orang tua, angkat beras, ziarahi orang sakit... sejuk sungguh mata memandang.

Sedap telinga mendengar pembukaan tazkirah mereka dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah. Ceramah mereka dipenuh dengan nasihat takwa dan istiqamah. Sedap telinga mendengar apabila menziarahi orang sakit, mereka pegang ubun - ubun sambil mendoakan kehadrat Allah. Sejuk telinga mendengar bacaan mereka ketika menjadi imam solat berjemaah dan berdoa ketika solat jenazah. Sejuk telinga mendengar...

Inilah nikmat yang tak pernah termimpi 50 tahun lebih dahulu di kedaerahanku... Yan, Kedah. Betapa bersyukurnya apabila diberi peluang oleh Allah menyaksikan semuanya ini dihadapan mata.. bukan di Kelantan yang terkenal dengan jolokan Negeri Serambi Mekah atau jolokan Negeri Tok Guru...tetapi di Negeri Kedah, Negeri Jelapang Padi yang pernah disebut orang sebelah Jeniang dulu: "Tobat Lahom, PAS boleh perintah."

Tak pernah termimpi oleh orang Kedah, lebih - lebih lagi orang Yan.. satu masa nanti Menteri Besarnya akan menjadi imam solat jenazah.Tetapi ianya telah pun terbukti. Orang Yan menjadi saksi, Masjid Pekan Yan menjadi lokasinya, Menteri Besar Ustaz Azizan Razak mengimami jenazah ahli qaryah mereka beberapa bulan dahulu.

Dan peristiwa yang mustahil boleh disusun atur tanpa ketentuan Allah, dan perkara yang amat mustahil berlaku sekiranya Kedah masih dibawah pemerintahan sebelum ini.. seorang YB mengambil bahagian memandikan jenazah!

Bertuahnya abangku allahyarham Ustaz Mohd. Hanif apabila jenazahnya disirami oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan cita - cita Islam..

Bertuahnya orang Yan, orang Parlimen Jerai kerana melantik YB Ustaz Firdaus Jaafar sebagai wakil mereka...

Allahyarham abangku bukanlah seorang pemimpin besar, beliau hanya orang biasa yang diberi amanah kecil, tetapi tetap diraikan oleh pemimpin besar... hebatnya kepimpinan PAS. Mungkin terdapat dalam UMNO?

Berbahagialah anda YB Ustaz Firdaus, atas jasamu menziarahi abangku petang itu, ketika beliau masih mampu berbicara denganmu. Petang itu YB buatkan penawar kepadanya. YB ambil asam jawa dicampur gula, lalu YB bacakan doa. YB suap asam itu ke dalam mulut abang... terima kasih YB.

Berbahagialah anda wahai pemimpin - pemimpin yang sentiasa di dalam doa kesejahteraan daripada rakyatnya. Berbahagialah rakyat dibawah slogan Kedah Sejahtera.

Dalam merasai nikmat di bawah naungan Bulan Purnama di Kedah, terkenang seketika saudara seagamaku, warga Bagan Pinang... sudah sampaikah masanya kalian ingin merasai nikmat seperti kami di Kedah? Siapakah antara dua orang pemimpin hebat itu yang kalian akan panggil ketika musibah dan dia akan doakan kesejahteraan kalian, selain daripada bantuan kebendaan? Siapa antara dua orang itu yang kalian berhajat kepadanya dan perlu menemuinya dirumahnya, sedangkan kalian terpaksa membongkokkan diri terhendap - hendap di pintu pagar mewahnya? Siapakah antara dua tokoh hebat itu yang akan kalian angkat untuk kalian sanjung dan kalian menjadi orang yang perlu menyanjungnya dengan persiapan dan protokol serta surat jemputan walaupun dalam perkara remeh, sedangkan dia kalian yang angkat?

Berbahagialah warga Bagan Pinang kerana ditakdirkan Allah, kalian berpeluang untuk memilih pemimpin.

Semoga Allah kurniakan kesejahteraan untuk kita...


YB Ustaz Mohd. Firdaus Jaafar