Allah S.W.T telah berfiman dengan bersumpah "demi masa" dan ditujukan kepada semua manusia yang mereka itu berada dalam kerugian. Kerugian yang tidak mungkin dapat dianjak kembali, kerana masa itu tetap berlalu bersama setiap dengupan jantung, hirupan udara dan kerlipan mata.
Rugi kerana masa, lebih hebat kesannya berbanding rugi kerana wang ringgit, rugi kerana gagal dalam sesuatu pekerjaan atau rugi kerana apa - apa kemusnahan. Kerugian wang boleh dicari ganti, rugi dalam sesuatu pekerjaan boleh dipertingkatkan dengan usaha semula dan rugi kerena kemusnahan boleh diperbaiki dan dibangunkan semula.
Masa yang berlalu tidak dapat dicari ganti. Semalam tidak boleh dicipta semula pada hari ini. Peristiwa yang berlaku semalam dan hari - hari sebelumnya adalah tidak sama pada hari ini, esok dan seterusnya.
Masa adalah satu anugerah yang sangat berharga. Oleh kerana berharganya masa, ia diibaratkan seumpama emas, masa itu emas.
Jadi, peliharalah masa dengan sebaik mungkin. Gunalah masa dengan sepenuhnya. Jadilah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan2 kepada kebenaran dan kesabaran, kerana mereka sahaja yang tidak rugi.
Manfaatkan masa yang berharga ini dengan;..
1. Berniat dalam setiap amalan yang dilakukan kerana Allah s.w.t. Setiap amalan itu akan menjadi ibadat dan amal soleh.
2. Merancang perkara - perkara baik yang perlu dilakukan untuk dijadikan amal yang pahalanya sentiasa mengalir semasa dan selepas kita meninggal dunia.
3. Memberi masa yang berharga itu untuk ibubapa. Sekiranya ditanya apakah balasan yang terbaik untuk mereka? Katakanlah, balasan yang termahal untuk kedua ibubapa adalah masa. Mereka tidak mengharapkan wang ringgit atau hadiah yang mahal - mahal.. kerana semua itu tidak semahal masa.
4. Memperbaiki cara hidup kepada yang lebih berakhlak dan berlandaskan ajaran Islam.
5. Bersedia menuju ke alam barzakh. Masa menuju ke alam kematian tidak pernah diketahui bila masanya.
6. Merancang dan berusaha meningkatkan taraf hidup yang lebih baik demi kesejahteraan diri, keluarga dan generasi seterusnya kerana masa muda dan sihat tidak akan berkekalan. Apabila tiba masanya, kita akan tua dan uzur.
Semoga, dengan datangnya tahun baru ini kita akan lebih menghargai masa untuk membina kehidupan duniawi yang bersedia menuju hidup ukhrawi.