Selamat menyambut dan memperingati kelahiran kekasih Allah, Nabi terakhir, Rasul yang diutuskan untuk panduan dan ikutan kita serta tokoh penaung teragung kita, Rasulullah S.A.W.
Baginda S.A.W lahir pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun gajah. 50 hari selepas peristiwa cubaan tentera bergajah menghancurkan Kaabah yang berakhir dengan kehancuran bala tentera Abrahah itu.
Baginda dilahirkan dari seorang ibu bernama Aminah binti Wahab, isteri kepada Abdullah Bin Abdul Muttalib. Seorang wanita terbaik daripada kalangan keturunan terbaik. Mempunyai suami yang terbaik daripada keluarga bangsawan berpengaruh, Bani Hasyim.
Detik - detik kelahiran yang mulia ini, penuh dengan kisah - kisah istimewa menyambut kedatangan sebaik - baik manusia yang dilahirkan di muka bumi. Api kaum majusi yang tidak pernah terpadam, tiba - tiba terpadam, singgahsana Kisra pula runtuh.
Ibu yang mulia ini tidak merasai sebarang kesakitan, kesulitan semasa mengandungkan yang Baginda. Kelahiran Baginda di kala hari baru mula menyinsing, pada waktu subuh, menandakan akan bermulanya hari baru bagi umat manusia.
Baginda Rasulullah S.A.W adalah manusia yang paling sempurna diciptakan Allah S.W.T. Sempurna dari segi fizikal, akhlak dan penampilan. Rambut baginda berwarna hitam, apabila panjang tidak melepasi bahu, jika pendek mencecah pangkal telinga, berdahi lebar, tidak terlalu lebar, keningnya indah melengkung hampir-hampir bertemu antara kening, wajahnya tampan hampir bulat tetapi tidak terlalu bulat, kurang daging pada pipinya, beranak mata hitam, pandangan lembut lebih banyak memandang kebawah.
Warna kulit baginda putih bercahaya tidak seperti putih kapur, bentuk badannya cantik dan sempurna, tapak tangan besar sempurna dan lembut berbau harum, lebih tinggi daripada sahabat baginda tetapi tidak terlalu tinggi.
Baginda wafat pada hari sama dilahirkan. Dimakamkan di tempat tidurnya di rumah Saidatina Aisyah, bersebelahan masjid Nabawi, di Madinah.
Sallallahu A'laihi wasallam..
Ku rindu padamu Ya Rasulullah...