29 June 2016

Puasa Yang Merugikan

Dalam kitab Kalilah Wa Dimnah, terdapat satu kisah yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الجُوْعَ والعَطَش.
Maksudnya:
“Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi mereka tidak mendapatkan apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Kisahnya berkenaan sekumpulan kera yang akan menyalakan unggun api setiap malam untuk memanaskan badan dan mengelakkan diri daripada gangguan binatang buas.

Berlaku peristiwa suatu malam, api tidak dapat dinyalakan dan ini membimbangkan kera – kera tersebut. Lalu kera-kera itu mula berkeliaran mencari-cari dalam hutan tersebut, jika - jika terdapat sumber api.

Tiba-tiba seekor kera terlihat kepada sesuatu seakan- akan bara api yang bernyala. Kera itu pun menuju ke arah benda itu dan membawa balik.

Katanya:
“Saya sudah jumpa sumber api! Ini seperti bara api, cuma dia tidak panas. ”

Seekor kera lain yang melihat benda itu berkata:
“Apa lagi, mari kita cuba nyalakan benda ini.”

Mereka pun meletakkan benda yang seakan-akan bara api itu di atas timbunan kayu dan mula meniup benda itu.

Kera itu terus meniup berulang-ulang kali dan yakin, atas usaha penat lelah meniup benda itu, api akan terhasil juga. Walaupun penat  dan keletihan, kera-kera tetap juga meniupnya, tetapi api masih tidak berhasil.

Tingkahlaku kera-kera itu rupa-rupanya sedang diperhatikan oleh seekor burung. Melihatkan gelagat kera-kera itu,  burung itu berkata:

“Usaha penat lelah, kesungguhan kamu belum tentu membuahkan hasil jika apa yang kamu lakukan itu tidak betul dan tidak yang sebenarnya.”

Seekor kera bertanya:
“Kenapa kamu berkata begitu? Adakah kamu hendak memperlekehkan usaha penat lelah kami ini?

Tidakkah kamu melihat yang kami semua berusaha bertungkus lumus, berpenat dan sanggup keletihan.

Tidakkah kamu lihat yang semua itu sebagai bukti usaha kami? Pasti akan membuahkan hasil dan kami lakukan perkara yang sebenarnya. Api pasti akan kami perolehi nanti!”

Balas burung itu:
“ Wahai kera-kera, usah yang kamu semua sedang lakukan itu hanya perbuatan sia-sia. Kamu hanya akan mendapat penat dan keletihan dan api yang kamu harapkan itu tidak akan kamu perolehi.

Sebenarnya kamu melakukan sesuatu yang tidak sebenarnya. Kamu tersalah membuat perhitungan!

“Apa maksud kamu wahai burung?!” Tanya seekor kera dalam kemarahan.

Jawab burung itu:
“ Sebenarnya kamu tidak akan mendapat api daripada kelip-kelip yang ditiup!”

Kisah di atas adalah satu kiasan berkenaan sikap sebahagian manusia dalam menilai sesuatu perkara, khususnya dalam hal ehwal amal ibadah.

Dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W telah menyatakan ramai orang yang melaksanakan ibadat puasa, sama ada orang itu mantap imannya atau orang yang biasa-biasa sahaja tahap keimanannya.

Bagi orang yang mantap imannya, mereka menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kerinduan. Apabila tibanya bulan puasa, mereka dengan penuh keghairahan dan keazaman yang tinggi melaksanakan tuntutan ibadat puasa itu secara sepenuhnya. Kesemua perkara-perkara syariat dijaga, perkara yang boleh mencacatkan puasa dihindari dengan sepenuh usaha, agar puasa mereka paling sempurna dan paling baik. Maklumlah inilah ibadat wajib yang disebut oleh Allah Taala sebagai hak milik penuhNya:

الصَوْمُ لِيْ و أَنَا أَجْزِيْ بِهِ.
“Puasa itu untuk Aku dan Akulah yang akan memberi balasannya.”

Manakala orang yang kurang imannya turut berpuasa. Mereka turut menyambut kedatangan Ramadan dan bergembira dengan kedatangannya. Malah ada yang turut memberatkan ibadat puasa ke atas diri mereka walaupun sebenarnya amalan – amalan lain yang juga wajib mereka abaikan.

Ramai yang berpuasa, tetapi berdasarkan hadis di atas ada antara mereka yang tidak mendapat apa-apa hasil daripada puasa mereka itu.

Antara puncanya adalah tidak memahami konsep puasa itu sendiri. Puasa adalah amalan ibadah dan  setiap ibadah dalam Islam terkandung dua perkara asas, iaitu amalan hati dan amalan fizikal. Amalan hati dalam ibadah puasa ialah niat yang dikhususkan hanya kepada dan kerana Allah Taala.

Amalan hati juga termasuklah menjaga segala perkara berkenaan hati yang boleh mencacatkan ibadah puasa.

Dari hati terbit ke fizikal. Jika hati tidak bersih, tidak dijaga, maka mulut tidak dapat dikawal. Perkara yang tidak patut diucapkan akan terkeluar darinya. Mata yang tidak dikawal, meliar melihat segala-gala yang ingin dilihat tanpa batasan. Telinga yang tidak dipantau akan dibiarkan mendengar apa jua yang menarik untuk didengar, tanpa ada tapisan dan peringatan bahawa dia sebenarnya sedang berpuasa. Sama sahaja perangainya, semasa berpuasa atau bukan berpuasa.

Pendek kata, orang yang betul – betul tidak makan, betul-betul tidak minum, belum tentu betul-betul menjaga puasanya. Jika dia tidak menjaga hati dan fizikal sebaiknya, maknanya dia gagal menjaga puasanya.

Hakikatnya, untuk menyebabkan puasa itu dapat menjadikan orang itu bertaqwa, dapat mengampunkan dosa yang lalu, dapat dijadikan perisai dan lain-lain ganjaran lagi, puasa itu perlu dilaksanakan secara syar’ie yang holistik. Betul feqahnya, betul penghayatannya, betul matlamatnya, maka betullah ganjarannya.

Oleh itu, berusahalah agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang disabdakan oleh Rasulullah dalam hadis di atas, orang yang derita dalam rugi. Derita kerana menahan lapar dan dahaga. Rugi kerana puasa itu tidak diterima oleh Allah Taala.


Sesungguhnya ada orang yang berpuasa, mereka keletihan, menahan lapar dan dahaga. Mereka menyangka dengan lapar dan dahaga itu mereka akan mendapat pahala dan ganjaran. Samalah juga seperti kera – kera yang menyangka usaha penat lelah meniup benda yang disangka bara api itu boleh menyalakan api yang dapat memanaskan tubuh mereka dari kesejukan malam dan menghindari dari gangguan binatang buas.