Dalam kitab Kalilah
Wa Dimnah, terdapat satu kisah yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran
berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ
إِلاَّ الجُوْعَ والعَطَش.
Maksudnya:
“Berapa ramai orang yang
berpuasa, tetapi mereka tidak mendapatkan apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”
Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim.
Kisahnya
berkenaan sekumpulan kera yang akan menyalakan unggun api setiap malam untuk
memanaskan badan dan mengelakkan diri daripada gangguan binatang buas.
Berlaku
peristiwa suatu malam, api tidak dapat dinyalakan dan ini membimbangkan kera –
kera tersebut. Lalu kera-kera itu mula berkeliaran mencari-cari dalam hutan
tersebut, jika - jika terdapat sumber api.
Tiba-tiba seekor
kera terlihat kepada sesuatu seakan- akan bara api yang bernyala. Kera itu pun
menuju ke arah benda itu dan membawa balik.
Katanya:
“Saya sudah jumpa sumber api!
Ini seperti bara api, cuma dia tidak panas. ”
Seekor kera lain yang melihat
benda itu berkata:
“Apa lagi, mari kita cuba
nyalakan benda ini.”
Mereka pun
meletakkan benda yang seakan-akan bara api itu di atas timbunan kayu dan mula meniup
benda itu.
Kera itu terus
meniup berulang-ulang kali dan yakin, atas usaha penat lelah meniup benda itu,
api akan terhasil juga. Walaupun penat
dan keletihan, kera-kera tetap juga meniupnya, tetapi api masih tidak
berhasil.
Tingkahlaku
kera-kera itu rupa-rupanya sedang diperhatikan oleh seekor burung. Melihatkan
gelagat kera-kera itu, burung itu
berkata:
“Usaha penat lelah,
kesungguhan kamu belum tentu membuahkan hasil jika apa yang kamu lakukan itu
tidak betul dan tidak yang sebenarnya.”
Seekor kera bertanya:
“Kenapa kamu berkata begitu?
Adakah kamu hendak memperlekehkan usaha penat lelah kami ini?
Tidakkah kamu melihat yang
kami semua berusaha bertungkus lumus, berpenat dan sanggup keletihan.
Tidakkah kamu lihat yang semua
itu sebagai bukti usaha kami? Pasti akan membuahkan hasil dan kami lakukan
perkara yang sebenarnya. Api pasti akan kami perolehi nanti!”
Balas burung itu:
“ Wahai kera-kera, usah yang
kamu semua sedang lakukan itu hanya perbuatan sia-sia. Kamu hanya akan mendapat
penat dan keletihan dan api yang kamu harapkan itu tidak akan kamu perolehi.
Sebenarnya kamu melakukan
sesuatu yang tidak sebenarnya. Kamu tersalah membuat perhitungan!
“Apa maksud kamu wahai
burung?!” Tanya seekor kera dalam kemarahan.
Jawab burung itu:
“ Sebenarnya kamu tidak akan
mendapat api daripada kelip-kelip yang ditiup!”
Kisah di atas
adalah satu kiasan berkenaan sikap sebahagian manusia dalam menilai sesuatu
perkara, khususnya dalam hal ehwal amal ibadah.
Dalam hadis di
atas, Rasulullah S.A.W telah menyatakan ramai orang yang melaksanakan ibadat
puasa, sama ada orang itu mantap imannya atau orang yang biasa-biasa sahaja
tahap keimanannya.
Bagi orang
yang mantap imannya, mereka menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh
kesyukuran dan kerinduan. Apabila tibanya bulan puasa, mereka dengan penuh
keghairahan dan keazaman yang tinggi melaksanakan tuntutan ibadat puasa itu
secara sepenuhnya. Kesemua perkara-perkara syariat dijaga, perkara yang boleh
mencacatkan puasa dihindari dengan sepenuh usaha, agar puasa mereka paling
sempurna dan paling baik. Maklumlah inilah ibadat wajib yang disebut oleh Allah
Taala sebagai hak milik penuhNya:
الصَوْمُ لِيْ و أَنَا أَجْزِيْ بِهِ.
“Puasa itu untuk
Aku dan Akulah yang akan memberi balasannya.”
Manakala orang
yang kurang imannya turut berpuasa. Mereka turut menyambut kedatangan Ramadan
dan bergembira dengan kedatangannya. Malah ada yang turut memberatkan ibadat
puasa ke atas diri mereka walaupun sebenarnya amalan – amalan lain yang juga
wajib mereka abaikan.
Ramai yang
berpuasa, tetapi berdasarkan hadis di atas ada antara mereka yang tidak
mendapat apa-apa hasil daripada puasa mereka itu.
Antara
puncanya adalah tidak memahami konsep puasa itu sendiri. Puasa adalah amalan ibadah
dan setiap ibadah dalam Islam terkandung
dua perkara asas, iaitu amalan hati dan amalan fizikal. Amalan hati dalam
ibadah puasa ialah niat yang dikhususkan hanya kepada dan kerana Allah Taala.
Amalan hati
juga termasuklah menjaga segala perkara berkenaan hati yang boleh mencacatkan
ibadah puasa.
Dari hati
terbit ke fizikal. Jika hati tidak bersih, tidak dijaga, maka mulut tidak dapat
dikawal. Perkara yang tidak patut diucapkan akan terkeluar darinya. Mata yang
tidak dikawal, meliar melihat segala-gala yang ingin dilihat tanpa batasan.
Telinga yang tidak dipantau akan dibiarkan mendengar apa jua yang menarik untuk
didengar, tanpa ada tapisan dan peringatan bahawa dia sebenarnya sedang
berpuasa. Sama sahaja perangainya, semasa berpuasa atau bukan berpuasa.
Pendek kata,
orang yang betul – betul tidak makan, betul-betul tidak minum, belum tentu
betul-betul menjaga puasanya. Jika dia tidak menjaga hati dan fizikal
sebaiknya, maknanya dia gagal menjaga puasanya.
Hakikatnya,
untuk menyebabkan puasa itu dapat menjadikan orang itu bertaqwa, dapat
mengampunkan dosa yang lalu, dapat dijadikan perisai dan lain-lain ganjaran
lagi, puasa itu perlu dilaksanakan secara syar’ie yang holistik. Betul
feqahnya, betul penghayatannya, betul matlamatnya, maka betullah ganjarannya.
Oleh itu,
berusahalah agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang disabdakan oleh
Rasulullah dalam hadis di atas, orang yang derita dalam rugi. Derita kerana
menahan lapar dan dahaga. Rugi kerana puasa itu tidak diterima oleh Allah
Taala.
Sesungguhnya
ada orang yang berpuasa, mereka keletihan, menahan lapar dan dahaga. Mereka
menyangka dengan lapar dan dahaga itu mereka akan mendapat pahala dan ganjaran.
Samalah juga seperti kera – kera yang menyangka usaha penat lelah meniup benda
yang disangka bara api itu boleh menyalakan api yang dapat memanaskan tubuh
mereka dari kesejukan malam dan menghindari dari gangguan binatang buas.
3 comments:
assalamualaikum,
apa khabar? sihat? alhmdulilah kita tak berkawan :)
T kasih shbtku utasstaz hafizan.Atas perkongsian ilmu..
Mohon izin sy kongsi d fb ya ustaz🙏🏼🗣️🤲
Post a Comment