30 July 2009


Semalam seorang lagi warga Malaysia meninggal kerana dijangkiti penyakit yang sedang menular sekarang, selsema babi atau nama sedapnya H1N1. Menjadikan jumlah yang telah meninggal seramai 4 orang. Ada orang kat kampung saya panggil selsema "hini", sebab tersalah baca agaknya.

Sebelum ini pun rata - rata orang kat kampung kat Jeniang nuu panggil demam chikungunya sebagai demam Cikgu Ya, senang sebut katanya.

Apapun penyakit yang sedang berkembang biak bilangan pengidapnya tu adalah satu wabak dan musibah yang sedang berlaku di seluruh dunia sekarang ini.

Tapi melihatkan kepada situasi masyarakat dan hebahan media, penyakit ini tidak sangat mengundang rasa takut kepada orang ramai. Kedai - kedai makan khususnya kedai mamak yang ada antaranya mengimport pekerja dari benua India, tetap penuh sesak. Kedai tomyam masakan Thai yang berderet di tepi - tepi jalan tetap bergemerlapan di waktu malam, setia dikunjungi oleh para pelanggannya. Pusat -pusat membeli belah yang besar - besar tetap dipenuhi pelbagai etnik saban hari.

Pendek kata, orang awam tidak langsung rasakan bimbang berada di persekitaran sesak dan bercampur gaul dengan pelbagai jenis umat manusia.

Rasulullah S.A.W telah mengajar kita cara - cara menangani wabak yang berlaku. Antara perkara yang perlu kita lakukan ialah sentiasa berdoa memohon perlindungan dan dijauhkan daripada menimpa kita. Selain daripada itu, adakan solat hajat secara berjemaah disetiap masjid, surau secara berterusan, bersungguh2, banyakkan bangun malam melakukan qiam, elakkan daripada terdedah dengan persekitaran yang memungkinkan penyebaran wabak dan berusaha menjaga kebersihan diri jasmani dan rohani, najis dan hadas.