Oleh kerana sekarang ni banyak masa di kampung, sambil mencari idea untuk menulis tesis, ruang masa yang ada ini berpeluang juga belajar menanam pokok cili fertigasi. Selalu sangat dengar mengenai penanaman ala - ala orang malas ni, terasa nak mencuba.
Cara belajarnya senang saja, nanti terangkan ye. Sebelum itu, nak beritahu yang pokok cili yang ditanam tu dah mula berbuah, pokok tomato pula dah mula berbunga. Seronok juga hari - hari tengok pokok - pokok tu membesar dan mendatangkan hasil. Terasa betapa besarnya rahmat Allah dan kekuasaanNya yang menjadikan daripada benih - benih yang ditanam itu pohon - pohon buah- buahan yang pelbagai rasa, warna dan bentuknya.
Terfikir juga, pokok cili yang ditanam dalam beg plastik itu, dari mana datangnya rasa pedasnya, kan? Nak kata saya letak perasa pedas, tak pula. Nak kata saya letak baja khas untuk memedaskannya.. baja yang sama juga digunakan untuk pokok tomato, tak pula pokok tomato tu jadi pedas :)
Nantilah nak tanya pakar saintis pokok cili, macamana buah cili boleh jadi pedas. Kalau mereka dah ada rahsia kepedasannya itu, nanti nak cuba minta pakar saintis tu cuba buat buah rambutan jadi pedas pula, nak tengok, boleh buat ke tak.
Berbalik kepada cerita kaedah penanaman fertigasi, kaedah ini sangat mudah dan tidak perlu banyak tenaga dan usaha, sangat simple dan semua orang boleh buat. Kaedah yang paling mudah, tidak membazir dan tumbuh dengan suburnya.
Begini caranya, saya pergi ke pusat penghasilan benih fertigasi di Kota Sarang Semut, beli anak benih yang siap ditanam dalam beg plastik yang mengandungi campuran sekam dan baja tertentu, harganya Rm1.50 sahaja. Tak perlu susah - susah nak sediakan anak benih, dan campuran sekam tu. Buang masa saja, dan mengotorkan tangan yang lembut gemalai ini.. Kemudian beli baja A & B dan racun serangga.
Balik ke rumah, susun anak benih di bawah pokok cempedak yang rimbun, tak perlu buat bumbung jaring - jaring hitam tu yang bertujuan mengelakkan tertimpa air hujan dan panas terik. Daun Cempedak mampu mengambil alih tugasan bumbung jaring tu.
Untuk elakkan pokok muda daripada patah, tumbang dan condong akibat angin, letakkan lidi penyapu di kiri kanan anak pokok sebagai sokongan. Free je lidi ni, ambil dari penyapu. Kuruslah penyapu yang digunakan untuk menyapu laman rumah :)
Ada yang letakkan plastik hitam sebagai alas beg plastik pokok cili. Tujuannya untuk elakkan tumbuh rumput. Oleh kerana tak ada rumput kat tempat tu, tak payah beli plastik tu, jimat lagi.
Baja A&B dicampur dengan air dan disiram 2 hari sekali waktu pagi. kalau hujan, off duty. Esok je siram. Baja ni tak boleh kena daun ye.
Tentang racun serangga, sembur 3 hari sekali. Kalau malas, sembur bila nampak daun ada gangguan makhluk asing.
Akhir sekali, kalau rasa tak ada siapa nak sembang, jengok - jengoklah anak - anak cili kesayangan hari - hari, bertanya khabar, ajak berborak...
Dalam tempoh 3 bulan lebih kurang, bolehlah memungut hasil.
Kalau anda terasa nak manfaatkan masa dan ruang rumah yang kosong tu, elok - eloklah tanam pokok secara fertigasi ni. Cili sekarang ni mahal, sekilo mencecah RM7. Kalau sekali tuai, dapat 10 kilo, dah RM70. Kalau 100kg, RM700, kalau 1000kg dah Rm7000, kalau sejuta kilo, dah tujuh juta..kaya...kaya :) lebih kaya dari tokey jual sekaya.
Selamat berangan menjadi orang kaya cili... :)
2 comments:
Mungkin kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan "fertigasi"ni.Ok..melalui pembacaan saya, sebenarnya fertigasi ini berasal dari gabungan perkataan "fertilizer" dan "irrigation" yang bermaksud "baja" dan "pengairan".Ini disebabkan kerana kaedah penanamannya(sekiranya ditanam secara besar-besaran)di mana baja yang lengkap diberikan kepada tanaman tersebut dalam bentuk larutan dan kemudian disalurkan ke akar melalui sistem pengairan.Apa yang dikatakan oleh ustaz hafizan memang benar bahawa sistem fertigasi ini mempunyai banyak kebaikan daripada cara penanaman biasa.Selain mendapat hasil yang lumayan dan menjimatkan kos,sistem fertigasi ini juga tidak dipengaruhi oleh musim dan sangat mesra alam.
Time kasih atas ilmu yang diberi :) baru saya tahu maksud sebenar fertigasi...
Post a Comment