26 September 2009

Abangku kembali ke Rahmatullah

Salah satu daripada malam 10 terakhir Ramadhan, malam yang dituntut untuk diisi dengan pelbagai ibadat, untuk bertemu dengan satu malam yang lebih baik daripada 1000 tahun, yang pada ketika itu turunnya malaikat - malaikat dan al-Ruh dengan izin Tuhannya... abangku kembali menemui Penciptanya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jam 12 tengahari 22 Ramadhan handphone berdering, mak di kampung memberitahu yang abangku kelihatan penat lebih daripada hari sebelumnya. Semalam, semalaman langsung tidak dapat tidur, katanya.

Hari - hari sebelumnya abangku seperti biasa, cuma badannya semakin kurus kerana tidak berselera untuk makan, sejak 2 Ramadhan. Hanya bubur lambuk yang diambil daripada surau Kg. Lubuk Boi, Yan yang dijamahnya serta air susu. Pun begitu, abangku melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Masalah kesihatan abang bermula daripada penyakit buasir. Tetapi tidak begitu membimbangkan.

Seminggu sebelumnya abang bawa keretanya ke rumah Pak Omar, Siak Masjid Yan minta anaknya baiki sepenuhnya, mana - mana yang rosak dibaiki. Biar sempurna katanya. Hari selasa ini nak guna untuk pergi ambil ubat. Hari Rabu pula abang ada bagi tahu nak bawa emak pergi ke pondok dengar tok guru baca kitab.

Abang juga ada beritahu emak nak pergi ke KWSP, katanya nak pindah nama 100% ke akaun mak. Mak kata, tengah demam tak payahlah pergi lagi. Abang kata, tak pa, kalau jadi apa - apa nanti senang. Abang ke Sungai Petani seorang diri uruskan KWSPnya.

14 Ramadhan abang dengan mak, pak dan adik2 datang ke rumah berbuka puasa. Seronok sangat apabila dapat berbuka bersama-sama. Walaupun nampak lebih kurus daripada biasa, abang tetap ceria dan bergurau juga. Esoknya, kami sama2 pulang ke kampung Rendang Pasir, Yan. Dalam kereta, abang banyak bercerita tentang usia, kematian dan doa - doa yang selalu diamalkannya. Abang bersungguh-sungguh memberi nasihat mengenai persediaan yang patut ada semasa kita singgah sebentar di dunia ini untuk dijadikan bekalan kelak.

21 Ramadhan, abang tolong tolak kereta jiran di kampung. Walaupun tidak begitu bertenaga, abang gagahkan juga, tetapi banyak melihat daripada menolak. Maklumlah, badan lebih banyak tulang daripada isi. Adik Hafdzi bergurau, katanya: " Kalau jentik badan abang Ni, habis lekang tulang".

Sebaik mendengar khabar daripada mak, memberitahu kesihatan abang tidak baik, kami bergegas pulang ke kampung. Pukul 1 lebih, sampai dirumah. Abang sedang berehat di atas kerusi malas, dengan dilapik tilam dan diletakkan bantal. Abang penat, mak kata.

Kami papah abang masuk dalam kereta, dan bawa ke Klinik Rama di Guar Cempedak. Dato' Dr. Rama, memeriksa kesihatan abang. Katanya jantung abang bergerak kuat sangat. Abang diberi pernafasan melalui mesin oksigen dan diberi ubat sakit jantung. Abang dibawa pulang kerumah.

Sebelum asar, abang berehat atas kerusi malas dengan ditemani oleh mak dan Husnil. Mak buatkan susu untuk abang. Abang minum sesudu.

Hari ini selepas asar, di surau sebelah rumah, Surau Haji Mat Alim, Rendang Pasir diadakan majlis penyerahan bantuan daripada ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Firdaus Jaafar. Ust. Firdaus minta saya menjadi MC majlis. Selepas majlis, saya beritahu YB, abang sakit.

YB datang ke rumah melawat abang. YB kata, abang semasa tamrin baru - baru ini, ok je uruskan majlis. Tiba-tiba kurus sangat. Kami berterima kasih atas jasa YB membuat air tawar & doakan abang.

Petang berlabuh ke malam, abang baring. Abang beritahu, bukan nak semakin baik, katanya. Saya cuma diam dan minta abang banyakkan zikir.

Selepas Tarawikh, semua warga surau menziarahi abang. Malam itu semua adik balik, kecuali abang sulung yang di KL. Kawan abang, Ustaz daripada Pondok Pasir Tumbuh datang bersama kawannya pengamal perubatan Darul Syifa datang melihat abang. Malam itu juga Pak Kassim, seorang pengamal perubatan di Kg. Rendang Pasir, juga melihat abang. Kebetulan mereka datang serentak. Untuk menziarahi abang. Mereka sama-sama mendoakan dan membuat penawar untuk abang. Abang masih seperti petang tadi, berbaring. Sesekali melihat ke arahku, sesekali melihat ke arah adik hamdan disebelah kirinya. Nampak abang kepenatan.

Tetamu yang datang, dijamu dan mereka berbual rancak sehingga tengah malam. Mereka datang untuk melihat kesihatan abang, bukannya kerana abang tenat. Abang cuma penat, sesekali abang bersuara menyambut salam dan berjabat tangan dengan tetamu yang datang.

Ust. Zul, kawan rapat abang dan ust. Mazlan mudir Sek. Agama Faizin Guar Cempedak, berada di rumah sehingga lewat malam.

Pukul 12.30 malam, ust. Mazlan adalah yang terakhir pulang. Abang bersalaman dengannya, ustaz peluk abang dan cium dahi abang sebelum pulang. Ku lihat ustaz memberi kata2 perangsang kepada abang. Abang mengangguk dan bersuara sedikit.

Selepas semua tetamu pulang, lampu ruang tamu ditutup bagi membantu abang tidur. Abang beritahu ingin membuang air kecil. Petang tadi abang pergi buang air besar berjalan sendiri ke tandas. Malam ini kami beritahu, biar kami uruskan, buang air kecil sambil berbaring, guna timba. Adik Hakimi, Adik Hamdan, Adik Hafdzi bersama2 tolong uruskan. Pak dan mak juga tolong uruskan. Kami sempat bergurau dengan abang, suasana ceria seketika.

Selepas selesai membuang air dan dibersihkan. Abang berehat seketika. Saya dan adik Hamdan di sisi kiri kanan abang. Adik Hakimi menuju ke kereta untuk pulang ke rumah mertuanya di Sedaka. Husnil di dapur, Majidah di rumah ibunya, Hafdzi dan pak juga di dapur, Mak sedang memakai telekung di bilik, untuk solat hajat..

Pukul 1.10 pagi, hampir satu pertiga malam 23 Ramadhan, malam ganjil dalam 10 terakhir ramadhan, malam penghulu segala bulan..

Abang beritahu, ingin berehat. Abang minta dibetulkan bantal, tidak selesa katanya. Saya dan Adik Hamdan mengangkat abang, betulkan badan abang, letakkan abang dalam keadaan yang selesa.

Sebaik selesai betulkan kedudukan abang, saya bangun meninggalkan abang. Entah mengapa, terlintas untuk berpaling ke belakang. Sebaik berpaling ke arah abang, saya lihat mata abang melihat ke atas. Kami cepat - cepat menuju ke abang. Adik Hamdan memanggil semua, adik hafdzi berlari ke luar rumah beritahu adik Hakimi yang sudah menggerakkan kereta. Mak yang baru hendak takbiratul ihram datang dalam bertelekung. pak turut datang meluru. Husnil berada di belakang melihat.

Adik Hakimi mengajar ucapan Allah ditelinga kiri abang. Adik Hafdzi di kanan, SAya ditengah. Mak dan yang lain turut sama. Tidak sampai beberapa saat kemudian, abang diam selama-lamanya. Mudahnya Abang meninggalkan kami. Air mata ku lihat di mata abang. Abang seolah - olah tersenyum, meninggalkan kami. Ibu jari kanan abang melekat di jari telunjuknya seolah seperti orang bertahiyyat.

Ku saksikan seorang yang menemui Allah dalam Husnil Khatimah.

Innalillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun....

"Allahummaqfir lahu Warham hu..."

Abangku Ustaz Mohd. Hanif Bin Hj. Ab. Halim, 36 tahun, guru di Sek. Agama Faizin, Guar Cempedak, Yan Kedah. Ketua Pemuda PAS Kg. Rendang Pasir.

09 September 2009

Assalamualaikum just language bro?

Ada kenyataan yang menarik untuk saya bincangkan disini, berkaitan satu pandangan mengenai "assalamualaikum". Katanya ucapan salam itu hanya sekadar bahasa, tidak lebih daripada itu. Ungkapan itu bukan berkaitan dengan agama pun. Hanya satu kata - kata Arab yang diucapkan oleh orang Arab apabila bertemu.Jadi bolehlah sesiapa pun sama ada Islam atau bukan Islam nak beri atau jawab salam.

Apabila saya terdengar kenyataan ini, terfikir juga, belajarkah dia sebelum membuat kenyataan sebegini. Sudah kajikah dalam buku - buku sejarah bahasa bangsa Arab sebelum mengatakan itu ungkapan orang Arab sebelum Islam lagi. Sudah pergikah dia ke negara Arab yang ada orang Arab kristian dan mendengar mereka memberi salam semuanya. Sudah selidikkah dia dengan buku - buku agama berkaitan hukum, tatacara dan adab ucapan salam.

Kalau belum, kenyataan itu hanya kenyataan kosong yang datang daripada sudut pandangan yang kosong juga. Bukannya pendapat ilmiah yang boleh dijadikan modal berhujah. Dan pandangan yang berbentuk 'rasa - rasa saya' inilah yang sangat tak patut ada.. nampak sangat tak berarahkan ilmu. Inilah punca yang membawa kepada kekeliruan dan kesesatan.

Untuk membetulkan kenyataan ini, mari kita selidik:

1. السلام عليكم adalah ungkapan ibadat dalam Islam, diucap selepas membaca tahiyat akhir, dan merupakan rukun dalam solat.

2. Ada tak ungkapan السلام عليكم dalam ibadat agama lain? Dalam agama Arab jahiliyah pun tak ada.

3. Tidak ada perkataan السلام عليكم dalam mana - mana manuskrip Arab sebelum Islam sama ada dalam puisi, sajak, surat, atau teks ucapan.

4.السلام عليكم dimulakan selepas kedatangan Islam & mula diucap oleh orang Islam.

5. Ungkapan السلام عليكم sudah sinonim dengan orang Islam. Kalau kita pergi ke Amerika, dan terdengar orang putih ucap salam kat member dia, kita akan kata, dah confirm orang putih tu dan member dia beragama Islam.

6. Tak ada pasal, orang putih yang kristian nak ucap salam kat member dia yang kristian juga.

7. Ada dengar orang cina bagi salam dekat orang India? Ada... kalau dua - dua tu cina dan India Islam. Kalau bukan Islam, ada dia bagi salam? Mana ada.

8. Orang Arab Kristian kalau dia bagi salam, orang anggap dia orang Islam. Mana dia suka orang anggap dia Islam. Lagi benci adalah. Jadi, logik kah yang mengatakan orang Arab kristian pun bagi salam?

9. Orang Arab Kristian adalah minoriti di kebanyakan negara Arab, mereka akan pastikan yang mereka dikenali sebagai Arab kristian dan bukan Arab Islam.

10. Habis, kalau sudah orang Arab, orang putih, cina, india dan lain - lain yang bukan Islam tak penah pun ucap salam sesama mereka yang bukan Islam juga... masih nak kata السلام عليكم ini "just language bro!"

Jadi, kesimpulannya... السلام عليكم ini adalah satu syiar dan syariat Islam. Tidak boleh dipandang ringan. Ada dalilnya dalam al-Quran dan hadis. Ada hukumnya. Sunat memberi salam, wajib menjawab. Ada rukunnya, iaitu orang yang memberi, orang yang menjawab dan lafaz. Ada syaratnya iaitu Islam dan mumayyiz. Ada sebab - sebab yang dilarang memberi dan menjawab salam. Ada hukum memberi dan menjawab salam berlainan jantina.

Diharap supaya yang membuat kenyataan menganggap السلام عليكم hanya sekadar bahasa berfikir semula dan berusaha mendalami ilmu agama yang sangat luas ini supaya dapat membuat pertimbangan yang lebih wajar tentang Islam.

Islam adalah agama yang sangat indah untuk dipelajari. Pelajarilah ilmu2nya dengan berguru dan bukannya sekadar membaca.

Ramai orang barat sekarang yang meninggalkan agama lama memilih Islam melalui pengkajian mereka, sedangkan ada segelintir daripada orang yang dilahirkan Islam, ingin meninggalkan Islam atau sangat meragui Islam tanpa mengkaji, sebaliknya terpengaruh melalui penulisan tokoh - tokoh barat atau golongan Liberal yang menulis fakta yang tidak tepat tentang Islam.

Mereka tersalah fikir, dan patutkah kita ikut tersalah fikir sedangkan kita punya fikiran untuk berfikir adakah itu fikiran yang betul atau salah? Fikir - fikirkan...

02 September 2009

Tawaran Hebat Di Bulan Ramadhan

Bulan pelbagai tawaran istimewa yang paling dinanti-nantikan telah tiba. Antara tawaran terhebat itu:

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunkan untuknya dosa-dosa yang terdahulu". Riwayat Bukhari.

Dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W memberitahu umat Islam satu berita gembira, tawaran hebat yang ditawarkan oleh Allah. Tawaran itu ialah dosa - dosa yang telah kita lakukan sebelum ini sama ada secara sengaja atau tidak, berpeluang untuk dihapuskan.

Dosa -dosa itu adalah selain daripada dosa besar yang hanya boleh dihapuskan dengan taubat nasuha. Sedangkan taubat nasuha itu pun, tidaklah sukar untuk dilakukan. Kalau dibandingkan dengan agama lain, memohon penghapusan dosa dalam agama Islamlah yang paling mudah dan paling sesuai dengan fitrah manusia.

Cuba bayangkan jika penghapusan dosa perlu dicucuk badan dengan besi , seperti bagi penganut hindu semasa Thaipusam, tentulah melampaui fitrah manusia dan bercanggahan dengan Firman Allah yang melarang merosakkan diri sendiri.

Tawaran seterusnya:

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu." Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Dan ditawarkan lagi :

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang
: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Dan antara tawaran yang sangat kita harapkan ialah doa dimakbulkan:

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."


Tawaran memperolehi rahmat:

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Dengan janji dan tawaran yang hebat ini, tidak sepatutnya kita sia2kan 30 hari yang sangat istimewa ini. Amat rugi bagi mereka yang tidak peka dengan tawaran sebegini.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."