Ada kenyataan yang menarik untuk saya bincangkan disini, berkaitan satu pandangan mengenai "assalamualaikum". Katanya ucapan salam itu hanya sekadar bahasa, tidak lebih daripada itu. Ungkapan itu bukan berkaitan dengan agama pun. Hanya satu kata - kata Arab yang diucapkan oleh orang Arab apabila bertemu.Jadi bolehlah sesiapa pun sama ada Islam atau bukan Islam nak beri atau jawab salam.
Apabila saya terdengar kenyataan ini, terfikir juga, belajarkah dia sebelum membuat kenyataan sebegini. Sudah kajikah dalam buku - buku sejarah bahasa bangsa Arab sebelum mengatakan itu ungkapan orang Arab sebelum Islam lagi. Sudah pergikah dia ke negara Arab yang ada orang Arab kristian dan mendengar mereka memberi salam semuanya. Sudah selidikkah dia dengan buku - buku agama berkaitan hukum, tatacara dan adab ucapan salam.
Kalau belum, kenyataan itu hanya kenyataan kosong yang datang daripada sudut pandangan yang kosong juga. Bukannya pendapat ilmiah yang boleh dijadikan modal berhujah. Dan pandangan yang berbentuk 'rasa - rasa saya' inilah yang sangat tak patut ada.. nampak sangat tak berarahkan ilmu. Inilah punca yang membawa kepada kekeliruan dan kesesatan.
Untuk membetulkan kenyataan ini, mari kita selidik:
1. السلام عليكم adalah ungkapan ibadat dalam Islam, diucap selepas membaca tahiyat akhir, dan merupakan rukun dalam solat.
2. Ada tak ungkapan السلام عليكم dalam ibadat agama lain? Dalam agama Arab jahiliyah pun tak ada.
3. Tidak ada perkataan السلام عليكم dalam mana - mana manuskrip Arab sebelum Islam sama ada dalam puisi, sajak, surat, atau teks ucapan.
4.السلام عليكم dimulakan selepas kedatangan Islam & mula diucap oleh orang Islam.
5. Ungkapan السلام عليكم sudah sinonim dengan orang Islam. Kalau kita pergi ke Amerika, dan terdengar orang putih ucap salam kat member dia, kita akan kata, dah confirm orang putih tu dan member dia beragama Islam.
6. Tak ada pasal, orang putih yang kristian nak ucap salam kat member dia yang kristian juga.
7. Ada dengar orang cina bagi salam dekat orang India? Ada... kalau dua - dua tu cina dan India Islam. Kalau bukan Islam, ada dia bagi salam? Mana ada.
8. Orang Arab Kristian kalau dia bagi salam, orang anggap dia orang Islam. Mana dia suka orang anggap dia Islam. Lagi benci adalah. Jadi, logik kah yang mengatakan orang Arab kristian pun bagi salam?
9. Orang Arab Kristian adalah minoriti di kebanyakan negara Arab, mereka akan pastikan yang mereka dikenali sebagai Arab kristian dan bukan Arab Islam.
10. Habis, kalau sudah orang Arab, orang putih, cina, india dan lain - lain yang bukan Islam tak penah pun ucap salam sesama mereka yang bukan Islam juga... masih nak kata السلام عليكم ini "just language bro!"
Jadi, kesimpulannya... السلام عليكم ini adalah satu syiar dan syariat Islam. Tidak boleh dipandang ringan. Ada dalilnya dalam al-Quran dan hadis. Ada hukumnya. Sunat memberi salam, wajib menjawab. Ada rukunnya, iaitu orang yang memberi, orang yang menjawab dan lafaz. Ada syaratnya iaitu Islam dan mumayyiz. Ada sebab - sebab yang dilarang memberi dan menjawab salam. Ada hukum memberi dan menjawab salam berlainan jantina.
Diharap supaya yang membuat kenyataan menganggap السلام عليكم hanya sekadar bahasa berfikir semula dan berusaha mendalami ilmu agama yang sangat luas ini supaya dapat membuat pertimbangan yang lebih wajar tentang Islam.
Islam adalah agama yang sangat indah untuk dipelajari. Pelajarilah ilmu2nya dengan berguru dan bukannya sekadar membaca.
Ramai orang barat sekarang yang meninggalkan agama lama memilih Islam melalui pengkajian mereka, sedangkan ada segelintir daripada orang yang dilahirkan Islam, ingin meninggalkan Islam atau sangat meragui Islam tanpa mengkaji, sebaliknya terpengaruh melalui penulisan tokoh - tokoh barat atau golongan Liberal yang menulis fakta yang tidak tepat tentang Islam.
Mereka tersalah fikir, dan patutkah kita ikut tersalah fikir sedangkan kita punya fikiran untuk berfikir adakah itu fikiran yang betul atau salah? Fikir - fikirkan...
No comments:
Post a Comment