26 September 2009

Abangku kembali ke Rahmatullah

Salah satu daripada malam 10 terakhir Ramadhan, malam yang dituntut untuk diisi dengan pelbagai ibadat, untuk bertemu dengan satu malam yang lebih baik daripada 1000 tahun, yang pada ketika itu turunnya malaikat - malaikat dan al-Ruh dengan izin Tuhannya... abangku kembali menemui Penciptanya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jam 12 tengahari 22 Ramadhan handphone berdering, mak di kampung memberitahu yang abangku kelihatan penat lebih daripada hari sebelumnya. Semalam, semalaman langsung tidak dapat tidur, katanya.

Hari - hari sebelumnya abangku seperti biasa, cuma badannya semakin kurus kerana tidak berselera untuk makan, sejak 2 Ramadhan. Hanya bubur lambuk yang diambil daripada surau Kg. Lubuk Boi, Yan yang dijamahnya serta air susu. Pun begitu, abangku melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Masalah kesihatan abang bermula daripada penyakit buasir. Tetapi tidak begitu membimbangkan.

Seminggu sebelumnya abang bawa keretanya ke rumah Pak Omar, Siak Masjid Yan minta anaknya baiki sepenuhnya, mana - mana yang rosak dibaiki. Biar sempurna katanya. Hari selasa ini nak guna untuk pergi ambil ubat. Hari Rabu pula abang ada bagi tahu nak bawa emak pergi ke pondok dengar tok guru baca kitab.

Abang juga ada beritahu emak nak pergi ke KWSP, katanya nak pindah nama 100% ke akaun mak. Mak kata, tengah demam tak payahlah pergi lagi. Abang kata, tak pa, kalau jadi apa - apa nanti senang. Abang ke Sungai Petani seorang diri uruskan KWSPnya.

14 Ramadhan abang dengan mak, pak dan adik2 datang ke rumah berbuka puasa. Seronok sangat apabila dapat berbuka bersama-sama. Walaupun nampak lebih kurus daripada biasa, abang tetap ceria dan bergurau juga. Esoknya, kami sama2 pulang ke kampung Rendang Pasir, Yan. Dalam kereta, abang banyak bercerita tentang usia, kematian dan doa - doa yang selalu diamalkannya. Abang bersungguh-sungguh memberi nasihat mengenai persediaan yang patut ada semasa kita singgah sebentar di dunia ini untuk dijadikan bekalan kelak.

21 Ramadhan, abang tolong tolak kereta jiran di kampung. Walaupun tidak begitu bertenaga, abang gagahkan juga, tetapi banyak melihat daripada menolak. Maklumlah, badan lebih banyak tulang daripada isi. Adik Hafdzi bergurau, katanya: " Kalau jentik badan abang Ni, habis lekang tulang".

Sebaik mendengar khabar daripada mak, memberitahu kesihatan abang tidak baik, kami bergegas pulang ke kampung. Pukul 1 lebih, sampai dirumah. Abang sedang berehat di atas kerusi malas, dengan dilapik tilam dan diletakkan bantal. Abang penat, mak kata.

Kami papah abang masuk dalam kereta, dan bawa ke Klinik Rama di Guar Cempedak. Dato' Dr. Rama, memeriksa kesihatan abang. Katanya jantung abang bergerak kuat sangat. Abang diberi pernafasan melalui mesin oksigen dan diberi ubat sakit jantung. Abang dibawa pulang kerumah.

Sebelum asar, abang berehat atas kerusi malas dengan ditemani oleh mak dan Husnil. Mak buatkan susu untuk abang. Abang minum sesudu.

Hari ini selepas asar, di surau sebelah rumah, Surau Haji Mat Alim, Rendang Pasir diadakan majlis penyerahan bantuan daripada ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Firdaus Jaafar. Ust. Firdaus minta saya menjadi MC majlis. Selepas majlis, saya beritahu YB, abang sakit.

YB datang ke rumah melawat abang. YB kata, abang semasa tamrin baru - baru ini, ok je uruskan majlis. Tiba-tiba kurus sangat. Kami berterima kasih atas jasa YB membuat air tawar & doakan abang.

Petang berlabuh ke malam, abang baring. Abang beritahu, bukan nak semakin baik, katanya. Saya cuma diam dan minta abang banyakkan zikir.

Selepas Tarawikh, semua warga surau menziarahi abang. Malam itu semua adik balik, kecuali abang sulung yang di KL. Kawan abang, Ustaz daripada Pondok Pasir Tumbuh datang bersama kawannya pengamal perubatan Darul Syifa datang melihat abang. Malam itu juga Pak Kassim, seorang pengamal perubatan di Kg. Rendang Pasir, juga melihat abang. Kebetulan mereka datang serentak. Untuk menziarahi abang. Mereka sama-sama mendoakan dan membuat penawar untuk abang. Abang masih seperti petang tadi, berbaring. Sesekali melihat ke arahku, sesekali melihat ke arah adik hamdan disebelah kirinya. Nampak abang kepenatan.

Tetamu yang datang, dijamu dan mereka berbual rancak sehingga tengah malam. Mereka datang untuk melihat kesihatan abang, bukannya kerana abang tenat. Abang cuma penat, sesekali abang bersuara menyambut salam dan berjabat tangan dengan tetamu yang datang.

Ust. Zul, kawan rapat abang dan ust. Mazlan mudir Sek. Agama Faizin Guar Cempedak, berada di rumah sehingga lewat malam.

Pukul 12.30 malam, ust. Mazlan adalah yang terakhir pulang. Abang bersalaman dengannya, ustaz peluk abang dan cium dahi abang sebelum pulang. Ku lihat ustaz memberi kata2 perangsang kepada abang. Abang mengangguk dan bersuara sedikit.

Selepas semua tetamu pulang, lampu ruang tamu ditutup bagi membantu abang tidur. Abang beritahu ingin membuang air kecil. Petang tadi abang pergi buang air besar berjalan sendiri ke tandas. Malam ini kami beritahu, biar kami uruskan, buang air kecil sambil berbaring, guna timba. Adik Hakimi, Adik Hamdan, Adik Hafdzi bersama2 tolong uruskan. Pak dan mak juga tolong uruskan. Kami sempat bergurau dengan abang, suasana ceria seketika.

Selepas selesai membuang air dan dibersihkan. Abang berehat seketika. Saya dan adik Hamdan di sisi kiri kanan abang. Adik Hakimi menuju ke kereta untuk pulang ke rumah mertuanya di Sedaka. Husnil di dapur, Majidah di rumah ibunya, Hafdzi dan pak juga di dapur, Mak sedang memakai telekung di bilik, untuk solat hajat..

Pukul 1.10 pagi, hampir satu pertiga malam 23 Ramadhan, malam ganjil dalam 10 terakhir ramadhan, malam penghulu segala bulan..

Abang beritahu, ingin berehat. Abang minta dibetulkan bantal, tidak selesa katanya. Saya dan Adik Hamdan mengangkat abang, betulkan badan abang, letakkan abang dalam keadaan yang selesa.

Sebaik selesai betulkan kedudukan abang, saya bangun meninggalkan abang. Entah mengapa, terlintas untuk berpaling ke belakang. Sebaik berpaling ke arah abang, saya lihat mata abang melihat ke atas. Kami cepat - cepat menuju ke abang. Adik Hamdan memanggil semua, adik hafdzi berlari ke luar rumah beritahu adik Hakimi yang sudah menggerakkan kereta. Mak yang baru hendak takbiratul ihram datang dalam bertelekung. pak turut datang meluru. Husnil berada di belakang melihat.

Adik Hakimi mengajar ucapan Allah ditelinga kiri abang. Adik Hafdzi di kanan, SAya ditengah. Mak dan yang lain turut sama. Tidak sampai beberapa saat kemudian, abang diam selama-lamanya. Mudahnya Abang meninggalkan kami. Air mata ku lihat di mata abang. Abang seolah - olah tersenyum, meninggalkan kami. Ibu jari kanan abang melekat di jari telunjuknya seolah seperti orang bertahiyyat.

Ku saksikan seorang yang menemui Allah dalam Husnil Khatimah.

Innalillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun....

"Allahummaqfir lahu Warham hu..."

Abangku Ustaz Mohd. Hanif Bin Hj. Ab. Halim, 36 tahun, guru di Sek. Agama Faizin, Guar Cempedak, Yan Kedah. Ketua Pemuda PAS Kg. Rendang Pasir.

3 comments:

Anonymous said...

Salam Takziah utk Ustaz sekeluarga, semoga arwah abg dirahmati Allah swt.

Karipole said...

innalillahi wainna ilahi rajiun, salam takziah buat ustaz sekeluarga.
Sedih dan terkejut ana mendengar khabar pemergiannya. Terasa ralat bila berita itu diterima setelah dua hari berlalu. Setelah menempuh jalan yang penuh berliku allahyarham akhirnya pulang dengan kemenangan,insyallah.Dalam perkenalan ana dengan beliau rasanya beliau cukup menghormati ana. Dimana saja bertemu pasti beliau datang menegur. Seorang yang berjiwa lembut dan tidak lokek untuk menghulurkan bantuan. semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh dan pejuang agama - Bekas rakan seangkatan- karipole a.k.a tok bomoh

Abu Huzaifah said...

Takziah kepada akhi dan keluarga , atas pemergian beliau menemui Rabbul Jalil.Kita doakan bersama beliau beroleh keampunan dan kerahmatan dialam barzakh dan akhirat nanti.Amiin ya raab al-Alamin