30 November 2010

Perancangan Pengajaran Pra sekolah 2010

Perancangan boleh dilihat dalam facebook saya. ustazhafizan@gmail.com

10 October 2010

Menjadi Anak Soleh


Allah menganugerahkan kepada kita seorang ibu dan seorang ayah. Ibu yang dianugerahkan Allah ini bukan ditentukan oleh kita sendiri, tetapi sebaliknya adalah takdir yang telah ditetapkan olehNya untuk kita. Ada antara kita ditakdirkan lahir daripada ibu yang solehah, itulah ketentuan Allah. Begitu juga jika ditakdirkan lahirnya dia daripada seorang ibu yang jauh daripada hidayat Allah, maka itulah yang perlu diterima sebagai satu ketetapan dan takdir hidup kita.

Kedua - dua takdir Allah itu, sama ada ditakdirkan sebagai anak kepada seorang ibu yang solehah atau anak kepada seorang ibu yang jauh daripada rahmat dan hidayat Allah adalah merupakan satu ujian dan cabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia ini.

Sayangilah ibumu walaupun siapa dia. Pernahkah anda mendengar cerita dalam sebuah hadis Nabi s.a.w berkenaan seorang lelaki soleh yang ibunya adalah seekor babi?

Kita akan bercerita dalam penulisan yang akan datang...

09 September 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2010

Selama sebulan kita berada dalam bulan penuh rahmat, penuh ganjaran dan peluang yang disediakan oleh Allah, ada yang menyambutnya dengan gembira dan teruja. Ada yang memandang sepi dengan peluang yang terbuka luas itu malah ada yang tidak sedar pun mengenainya. Walau apa pun, bulan itu sudah hampir sangat berlalu, tinggal hari ini sahaja untuk kita gunakan sebaik-baiknya baki yang masih ada...

Esok, kita raya.. merayakan kejayaan bagi orang mukmin muttaqin yang sangat menginginkan kemenangan syurga, yang telah bertungkus lumus menghidupkan malam ramadhan, yang berpuasa secara total zahir dan batin.

Semoga esok adalah sebaik - baik hari raya yang penah kita alami. Selamat menyambut hari raya maaf zsahir batin.

10 July 2010

Kenduri Arwah

Soalan:

Apakah agama menyuruh kita mengadakan kenduri atau jamuan sempena kematian seseorang yang dinamakan dengan kenduri arwah. Sesetengah ‘ustaz’ akan mencerca sesiapa yang tidak mahu buat dan menganggap sesiapa yang tidak buat kenduri arwah macam tidak menghormati mazhab al-Syafi’i. Apakah ini benar?

Jawapan:

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dalam soalan diatas. Salah satu daripadanya, "adakah agama menyuruh". Jawapannya, tidak ada suruhan untuk mengadakan kenduri arwah dan jamuan sempena kematian. Ia adalah satu perkara baik yang difikirkan untuk dilakukan. Kedua, " mencerca sesiapa yang tidak mahu buat". Perbuatan 'ustaz' yang mencerca sesiapa yang tidak mahu buat itu saya belum pernah dengar, tetapi perbuatan 'ustaz' mencerca orang yang buat itu selalu kedengaran. Ketiga, anggapan tidak buat sebagai "tidak hormati mazhab syafie" juga tidak kedengaran. Kemungkinan suatu andaian atau telahan daripada pihak tertentu.

Jadi, bagaimana dengan majlis kenduri arwah yang kita selalu hadir sekarang dikebanyakan kampung? Sepertimana yang kita lihat, perjalanan kenduri arwah dimulakan dengan bacaan tahlil dan kemudiannya ada jamuan makan. Biasanya pada malam - malam permulaan dijamu kuih, bihun dan makanan ringan sahaja dan selalunya pada malam ketiga dijamu dengan jamuan lebih berat iaitu nasi.

Jamuan yang dibuat sekarang ini rata - rata datangnya daripada sumbangan orang ramai yang datang, kerajaan, tabungan kematian atau daripada sumbangan adik beradik si mati. Jadi, tidak timbul apa - apa masalah dengan jamuan dan menghadirinya. Sekiranya diambil daripada akaun si mati atau tabungannya, tentulah tidak dibenarkan, kerana seumpama memakan harta anak yatim.

Sekarang ini umat islam di kampung - kampung telah faham, sepanjang yang saya tanya, mereka tahu dan tidak mengaitkan lagi sebab dibuat kenduri dengan sempena - sempena tertentu. Sebaliknya dibuat ikhlas untuk sedekahkan pahala kenduri, tahlil, bacaan yasin dan sebagainya kepada arwah si mati.

Sebenarnya mengadakan kenduri selepas sesuatu kematian ada beberapa matlamat dan hikmahnya. Antara matlamatnya ialah untuk mengurangkan tekanan perasaan keluarga si mati. dengan datangnya orang kampung ke rumah si mati, mengurangkan kesunyian dan rasa kehilangan terhadap yang tersayang. keduanya, dapat berkumpul dibacakan ayat - ayat al-quran, tahlil dan zikir untuk disedekahkan pahalanya kepada si mati. Ketiga melahirkan rasa kekitaan dalam masyarakat dan rasa ambil berat. Jika tidak ada apa2 perhimpunan selepas berlaku kematian, tentu tidak ada sesiapa yang datang menjengok keluarga itu.

Manakala berkaitan sama ada sampai atau tidak doa, pahala zikir, tahlil, yasin dan al-fatihah yang dibacakan untuk si mati, perkara ini terletak dalam alam ghaib Allah s.w.t. Selagi tidak dikatakan Allah s.w.t secara jelas, apa yang datang selepas mati itu tidak sampai, sepatutnya kita beranggapan ia sampai kepada si mati. Jika tidak sampai, kita tidak rugi apa - apa, malah mendapat pahala berzikir dan berdoa kepada orang lain. Tetapi jika rupa - rupanya sampai, tetapi kita tidak buat, alangkah ruginya.

Tetapi, berdasarkan kepada peristiwa dalam sirah rasulullah dan pemahaman berkaitan hadis, difahami bahawa kesemua amal kebaikan yang disedekahkan kepada si mati, insyaallah akan sampai kepadanya.

Kesimpulannya, sebelum menjatuhkan sesuatu hukum, kita perlu lihat kepada realiti dan situasi masyarakat. Jika ada perkara yang dilaraang, cadangkan alternatifnya. Jika ada perkara yang dikatakan bercanggah dengan Islam atau dikatakan sebagai bidaah, baiki perkara itu dan jangan terus dihapuskan atau dihukum, kerana ini akan menyebabkan kekucaran dalam masyarakat.

Wallahua'lam.

25 May 2010

Tapak Kaki Dua Jari


Tapak kaki dua jari
Hari ini melangkah gagah megah
Menghentak bumi berdetak
Berderap denai berturap

Tapak kaki dua jari
Tidak lagi merah mengelupas
Berlari pantas mengejar emas
mengharung kelebur berhambur

Tapak kaki dua jari
Empuk gebu
Tidak kematu dalam sepatu
Sepatu kayu bergerutu

Tapak kaki dua jari
Asal terhoyong hayang
Melelong tunggang langgang
Tersungkur terperosok di ceruk

Tapak kaki dua jari
Sekarang kemas pantas
Tangkas menerajang
Petualang melintang

Tapak kaki dua jari
Hentak membentak
Menyepak

Tapak kaki dua jari
Belum rasa terpijak
Tajau ranjau sebisa pisau
Menikam tembus terperlus

Tapak kaki dua jari
Belum tersadung bendul membinjul
Tergelincir pancit tercunggit

Tapak kaki dua jari
Belum berbalut ke lutut
bertopang capang
Terhegeh letih menatih

Tapak kaki dua jari
Berdirilah mencari erti

24 May 2010

Assalamu'alaikum Warahmatullah..


Saudara Ariff, terima kasih atas kunjungan ke blog ini. Insyaallah, ana akan cuba berikan pandangan atas persoalan saudara mengenai sokongan seorang Islam terhadap Zionis dan dalam masa yang sama memperlekehkan umat Islam Palestin.

Sepertimana yang kita sedia maklum, Yahudi dan Zionis khususnya adalah musuh umat Islam. Allah s.w.t telah menegaskan dalam al-Quran : " Yahudi dan Nasrani tidak sekali - kali meredhai kamu sehingga kamu mengikut agama mereka".

Kita juga sedia maklum yang kafir terbahagi kepada dua, kafir zimmi dan kafir harbi. Kafir zimmi ialah orang bukan Islam yang Rasulullah s.a.w perintahkan supaya mereka mendapat pembelaan dan boleh dijadikan kawan.

Manakala kafir harbi ialah orang bukan Islam yang bertindak menentang dan memusuhi Islam. Mereka sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan Islam dan umat Islam.

Zionis adalah kafir harbi, merupakan musuh Allah dan musuh umat Islam. Mereka sentiasa mencari 'pasal' dengan umat Islam, mengganggu ketenteraman dan hak kebebasan umat Islam untuk mengamalkan ajaran yang dipercayai. Mereka merampas hak ketuanan tanah, mencabul perjanjian dan tidak hirau dengan ugutan dan cercaan mana - mana negara.

Banyak fatwa telah dikeluarkan oleh ulama seluruh dunia berkenaan hubungan dengan zionis. Sebuah buku yang dikarang dalam Bahasa Arab telah menyenaraikan puluhan fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa negara Islam berkenaan Yahudi dan sikap umat Islam terhadap mereka. Buku ini insyallah sedang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu bersama dengan Ust. Shauqi Othman, UPM.

Persoalannya ialah, jadi murtadkah jika kita berpihak dengan Yahudi dan dalam masa yang sama memperlekehkan umat Islam Palestin yang ditindas oleh Yahudi?

Secara jelasnya, seorang yang merasakan Yahudi itu baik, tidak salah atau tidak apa -apa atau apa juga pandangan positif terhadap mereka bermakna telah menyanggahi peringatan al-Quran dan fatwa2 yang dikeluarkan oleh para ulama Islam.

Menyuarakan suara yang senada dengan Yahudi terhadap golongan yang mereka tindas, bermakna bersetuju dengan tindakan mereka.

Semestinya orang seperti itu, bukanlah seorang Islam yang sejati. Dia adalah seorang yang berdosa besar , malah boleh dikategorikan dalam golongan fasiq dan munafiq.

Sama ada murtad atau tidak, dia belum dikatakan murtad sekiranya masih meyakini terhadap Islam.

13 May 2010

Adab bekerja


1. Niat : menghadirkan niat yang ikhlas dan meletakkan pekerjaan yang dilakukan sebagai satu ibadah.

2. Jangan bertangguh: kerja yang boleh disiapkan hari ini jangan ditangguh esok.

3. Berpagi - pagi: datang awal. Rasulullah s.a.w bersabda : "Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah umatku yang berpagi - pagi." (Riwayat Ahmad)

24 April 2010

Takut apa buang anak!

Baru - baru ini terdengar suara - suara yang menggesa supaya subjek pendidikan seks segera di ajar di sekolah. Mungkin antara alasan mereka ialah kerana sejak akhir - akhir ini banyak sangat ibu yang mencicirkan anaknya dalam tandas, tepi longkang, di tangga masjid, malah ada yang dijadikan jamuan biawak dan anjing. Ada juga yang cuba menjadikan bayi itu sebagai satey, dibakar.

Ibu - ibu penjenayah ini rata - ratanya berakal, boleh berfikir dan ada antaranya yang merupakan graduan di pusat pengajian tinggi. Adakah mungkin terdapat dalam kalangan mereka yang terencat akal atau gila sehingga tidak mampu berfikir? Mungkin juga, tetapi sudah pasti yang waras dan berakal geliga ini lebih ramai daripada yang berakal tembaga.

Akal yang Allah s.w.t kurniakan kepada ibu yang waras tetapi kejam ini, adakah otak mereka tidak digilap dengan didikan agama? Adakah kerana tidak diajar cara - cara menjaga anak? Adakah kerana mereka tidak tahu jika melakukan seks, keluar anak? Adakah mereka tidak tahu, jika tinggalkan anak itu di tepi sungai, anak itu tidak pandai berenang? Adakah mereka tidak tahu kalau tidak kahwin tidak boleh buat macam orang yang dah kahwin? Adakah mereka tidak tahu walau apapun sebabnya, anak itu tidak boleh dibunuh? Adakah mereka tidak tahu, anak itu bukan cleaner yang bekerja cuci tandas, lalu dibiarkan di mangkuk tandas?

Apa lagi yang mereka tidak tahu sebenarnya?

Jawapannya, mereka bukan tidak tahu. Tetapi mereka tidak takut!

Mereka tidak takut untuk mendedahkan aurat, tidak takut untuk keluar berdua-duaan dengan pasangan, tidak takut untuk beraksi seperti pasangan yang berkahwin, tidak takut untuk berpelukan dikhalayak ramai, tidak takut untuk bersunyi-sunyian dirumah, tidak takut untuk melakukan seks sebelum kahwin, tidak takut untuk termengandung... dan tidak takut untuk buang anak!

Kenapa mereka tidak takut?

Mak ayah tidak larang anak dedahkan aurat sejak kecil, remaja hingga dewasa. Mak ayah atau tiada sesiapa yang menghalang mereka berpacaran. Maka ayah atau tiada sesiapa yang menghalang mereka berlagak seumpama sudah berkahwin.

Undang - undang? Tindakan? Langkah - langkah pencegahan?

Jika diperkemaskan, pasti sangat membantu.

15 March 2010

Tahniah Untuk Pelajar SPM 2009 SMKSP


TAHNIAH KEPADA PELAJAR2 USTAZ YANG CEMERLANG & BERJAYA DALAM SPM!!
Yang tak cemerlang pun tahniah juga.. kerana anda telah berusaha.
Cuma giliran kejayaan anda belum tiba.
Teruskan Usaha!

26 February 2010

Rasulullah S.A.W dalam ingatan

Selamat menyambut dan memperingati kelahiran kekasih Allah, Nabi terakhir, Rasul yang diutuskan untuk panduan dan ikutan kita serta tokoh penaung teragung kita, Rasulullah S.A.W.

Baginda S.A.W lahir pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun gajah. 50 hari selepas peristiwa cubaan tentera bergajah menghancurkan Kaabah yang berakhir dengan kehancuran bala tentera Abrahah itu.

Baginda dilahirkan dari seorang ibu bernama Aminah binti Wahab, isteri kepada Abdullah Bin Abdul Muttalib. Seorang wanita terbaik daripada kalangan keturunan terbaik. Mempunyai suami yang terbaik daripada keluarga bangsawan berpengaruh, Bani Hasyim.

Detik - detik kelahiran yang mulia ini, penuh dengan kisah - kisah istimewa menyambut kedatangan sebaik - baik manusia yang dilahirkan di muka bumi. Api kaum majusi yang tidak pernah terpadam, tiba - tiba terpadam, singgahsana Kisra pula runtuh.

Ibu yang mulia ini tidak merasai sebarang kesakitan, kesulitan semasa mengandungkan yang Baginda. Kelahiran Baginda di kala hari baru mula menyinsing, pada waktu subuh, menandakan akan bermulanya hari baru bagi umat manusia.

Baginda Rasulullah S.A.W adalah manusia yang paling sempurna diciptakan Allah S.W.T. Sempurna dari segi fizikal, akhlak dan penampilan. Rambut baginda berwarna hitam, apabila panjang tidak melepasi bahu, jika pendek mencecah pangkal telinga, berdahi lebar, tidak terlalu lebar, keningnya indah melengkung hampir-hampir bertemu antara kening, wajahnya tampan hampir bulat tetapi tidak terlalu bulat, kurang daging pada pipinya, beranak mata hitam, pandangan lembut lebih banyak memandang kebawah.

Warna kulit baginda putih bercahaya tidak seperti putih kapur, bentuk badannya cantik dan sempurna, tapak tangan besar sempurna dan lembut berbau harum, lebih tinggi daripada sahabat baginda tetapi tidak terlalu tinggi.

Baginda wafat pada hari sama dilahirkan. Dimakamkan di tempat tidurnya di rumah Saidatina Aisyah, bersebelahan masjid Nabawi, di Madinah.

Sallallahu A'laihi wasallam..

Ku rindu padamu Ya Rasulullah...

25 January 2010

Blog Menghina Sultan

Nabi S.A.W bersabda : "uzkuruu mahasina mautakum", yang bermaksud: "Kamu sebutlah kebaikan orang yang telah meninggal di kalangan kamu."

Malangnya, pesan dan amanat Rasulullah S.A.W ini tidak dipedulikan. Terdapat orang yang tidak mendidik diri sendiri dengan didikan akhlak bertindak menghina manusia lain yang telah meninggal. Lebih mendukacitakan penghinaan itu ditujukan kepada Sultan, payung negeri dan penaung agama.

Orang yang menghina itu, tidak kira dalam agama, bangsa dan ideologi apa pun, adalah diletakkan dalam kategori manusia yang tidak baik akhlaknya.

Semoga Allah s.w.t menyelamatkan kita daripada berakhlak buruk. Amin..