04 October 2009

Wahai Bagan Pinang ...Ini Nikmat Di Bawah Naungan Purnama

Alangkah nikmat dan bahagianya rakyat sebuah negeri yang dipimpin oleh pemimpin - pemimpin yang sejuk mata memandang dan sedap telinga mendengar.

Sejuk mata memandang sikap mereka yang sporting, tawaduk, biasa-biasa sahaja, senang dibawa berbincang. Sejuk mata memandang penampilan mereka yang sangat sederhana. Raut wajah mereka ada cahaya solat. Senyum mereka penuh keikhlasan. Turun bendang, naik rumah usang, papah orang tua, angkat beras, ziarahi orang sakit... sejuk sungguh mata memandang.

Sedap telinga mendengar pembukaan tazkirah mereka dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah. Ceramah mereka dipenuh dengan nasihat takwa dan istiqamah. Sedap telinga mendengar apabila menziarahi orang sakit, mereka pegang ubun - ubun sambil mendoakan kehadrat Allah. Sejuk telinga mendengar bacaan mereka ketika menjadi imam solat berjemaah dan berdoa ketika solat jenazah. Sejuk telinga mendengar...

Inilah nikmat yang tak pernah termimpi 50 tahun lebih dahulu di kedaerahanku... Yan, Kedah. Betapa bersyukurnya apabila diberi peluang oleh Allah menyaksikan semuanya ini dihadapan mata.. bukan di Kelantan yang terkenal dengan jolokan Negeri Serambi Mekah atau jolokan Negeri Tok Guru...tetapi di Negeri Kedah, Negeri Jelapang Padi yang pernah disebut orang sebelah Jeniang dulu: "Tobat Lahom, PAS boleh perintah."

Tak pernah termimpi oleh orang Kedah, lebih - lebih lagi orang Yan.. satu masa nanti Menteri Besarnya akan menjadi imam solat jenazah.Tetapi ianya telah pun terbukti. Orang Yan menjadi saksi, Masjid Pekan Yan menjadi lokasinya, Menteri Besar Ustaz Azizan Razak mengimami jenazah ahli qaryah mereka beberapa bulan dahulu.

Dan peristiwa yang mustahil boleh disusun atur tanpa ketentuan Allah, dan perkara yang amat mustahil berlaku sekiranya Kedah masih dibawah pemerintahan sebelum ini.. seorang YB mengambil bahagian memandikan jenazah!

Bertuahnya abangku allahyarham Ustaz Mohd. Hanif apabila jenazahnya disirami oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan cita - cita Islam..

Bertuahnya orang Yan, orang Parlimen Jerai kerana melantik YB Ustaz Firdaus Jaafar sebagai wakil mereka...

Allahyarham abangku bukanlah seorang pemimpin besar, beliau hanya orang biasa yang diberi amanah kecil, tetapi tetap diraikan oleh pemimpin besar... hebatnya kepimpinan PAS. Mungkin terdapat dalam UMNO?

Berbahagialah anda YB Ustaz Firdaus, atas jasamu menziarahi abangku petang itu, ketika beliau masih mampu berbicara denganmu. Petang itu YB buatkan penawar kepadanya. YB ambil asam jawa dicampur gula, lalu YB bacakan doa. YB suap asam itu ke dalam mulut abang... terima kasih YB.

Berbahagialah anda wahai pemimpin - pemimpin yang sentiasa di dalam doa kesejahteraan daripada rakyatnya. Berbahagialah rakyat dibawah slogan Kedah Sejahtera.

Dalam merasai nikmat di bawah naungan Bulan Purnama di Kedah, terkenang seketika saudara seagamaku, warga Bagan Pinang... sudah sampaikah masanya kalian ingin merasai nikmat seperti kami di Kedah? Siapakah antara dua orang pemimpin hebat itu yang kalian akan panggil ketika musibah dan dia akan doakan kesejahteraan kalian, selain daripada bantuan kebendaan? Siapa antara dua orang itu yang kalian berhajat kepadanya dan perlu menemuinya dirumahnya, sedangkan kalian terpaksa membongkokkan diri terhendap - hendap di pintu pagar mewahnya? Siapakah antara dua tokoh hebat itu yang akan kalian angkat untuk kalian sanjung dan kalian menjadi orang yang perlu menyanjungnya dengan persiapan dan protokol serta surat jemputan walaupun dalam perkara remeh, sedangkan dia kalian yang angkat?

Berbahagialah warga Bagan Pinang kerana ditakdirkan Allah, kalian berpeluang untuk memilih pemimpin.

Semoga Allah kurniakan kesejahteraan untuk kita...


YB Ustaz Mohd. Firdaus Jaafar

2 comments:

mohdrusli said...

Berbahagialah..

Unknown said...

assalamualaikum,
ana berminat sungguh dengan kisah perjuangan ust. mohd hanif hingga mendapat anugerah sebegitu rupa....kisah-kisah pejuang seperti ini kalau dibukukan secara ringkas pun rasanya akan mendapat sambutan..ana nak tolong cetak dan jual...