27 February 2009

PPSMI - siaran ulang tayang


Semenjak datangnya syiar Islam di nusantara, kemudian tertubuhnya kerajaan Melayu Islam di Melaka pada tahun 1403, orang Melayu menggunakan tulisan jawi sebagai wadah pengembangan ilmu. Hasil - hasil penulisan di dalam pelbagai karya dan curahan ilmu itu disajikan dengan menggunakan huruf - huruf arab yang disusun sehingga menjadi perkataan yang digunakan oleh orang Melayu dan difahami maksudnya.
Tambahan pula, sangat banyak perkataan bahasa Melayu itu diambil daripada perbendaharaan kata Arab. Orang Melayu memanggil tempat duduk yang berkaki empat itu adalah kerusi, kalimat yang diceduk terus daripada mufradat Arab. Begitu juga tempat berhimpun dan berlakunya acara dipanggil majlis, himpunan lembaran tulisan dipanggil kitab, perkara yang memalukan dipanggil aib, nama - nama hari adalah daripada bahasa Arab dan banyak lagi perkataan yang kalau dikeluarkan perkataan Arab daripada kamus bahasa Melayu, akan kurus keringlah kamus tersebut.

Penulisan para cendekiawan Melayu tersebar dan membina minda Melayu dengan perantaraan tulisan jawi. Tokoh - tokoh ulama ulung mengarang kitab - kitab tasawwuf, tafsir, sirah dan sebagainya, sejarawan menyimpan arkib sejarah Melayu, sasterawan menyampaikan isi hati dan perasaan, semuanya berperantarakan tulisan jawi.
Tulisan jawi adalah sebagai imej dan jatidiri bangsa Melayu, juga simbol kepada kedaulatan Islam yang menjadi kembar siam kepada Melayu. Menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Bermakna orang Melayu yang bukan Islam adalah Melayu yang bukan Melayu.

Apabila kuasa Barat menjajah tanah Melayu, bermula kedatangan Portugis pada 1511, kemudian Belanda pada 1641 dan diambil alih oleh British pada 1824, orang Melayu tetap kukuh dan teguh mempertahankan maruah bangsa mereka daripada ancaman ganggu gugat anasir penjajah itu. Mereka berjaya mempertahankan maruah bangsa itu dengan jayanya. Tulisan jawi kekal sebagai penyampai maklumat utama di sekolah dan di akhbar - akhbar.
Malangnya, tulisan jawi yang menjadi simbol Islamnya Melayu itu telah terhapus dan pupus kini. Bukan dipupuskan oleh penjajah, atau oleh bangsa lain yang menjadi warga Malaysia, tetapi dihapuskan oleh seorang Menteri daripada parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yang pada nama parti itu, sepatutnya memperjuangkan maruah Melayu. Tetapi yang sebaliknya pula terjadi.
Hasilnya, kini tulisan Melayu menjadi manuskrip lama yang sangat ganjil dan menghairankan. Pernah terjadi seorang pelajar sekolah menengah yang terpijak sehelai akhbar sisipan jawi Utusan, diambilnya helaian itu dan diletakkan atas kepala, kerana merasakan akhbar tulisan jawi itu seperti ayat - ayat al-Quran.

Kesan daripada terhapusnya tulisan jawi turut menimpa khatib yang membaca khutbah di mimbar. Ucapan salawat ke atas Nabi S.A.W oleh khatib menggatalkan telinga orang yang mendengarnya yang tahu membezakan antara huruf sin dan sod.. puncanya, teks ditulis dalam tulisan rumi.

Begitulah, kesudahannya tulisan jawi akan pupus langsung daripada helaian kertas dan diletakkan di dalam bekas cermin di muzium.

Jadi, tidaklah menghairankan jika 50 tahun nanti, setelah sekian lama orang Melayu berinteraksi di rumah, pasar, masjid, kedai kopi, talian internet, SMS dan sebagainya menggunakan bahasa Melayu, akan dapati bangsa Melayu ini kekok, malu dan telo lidahnya untuk berbahasa Melayu.

Jika 100 tahun nanti, ada yang bertanya siapa yang menyebabkan bahasa Melayu hilang daripada lidah anak Melayu, jawapannya adalah sama seperti sebab pupusnya tulisan jawi..

No comments: