25 December 2009

Salam Maal Hijrah 1431

Allah S.W.T telah berfiman dengan bersumpah "demi masa" dan ditujukan kepada semua manusia yang mereka itu berada dalam kerugian. Kerugian yang tidak mungkin dapat dianjak kembali, kerana masa itu tetap berlalu bersama setiap dengupan jantung, hirupan udara dan kerlipan mata.

Rugi kerana masa, lebih hebat kesannya berbanding rugi kerana wang ringgit, rugi kerana gagal dalam sesuatu pekerjaan atau rugi kerana apa - apa kemusnahan. Kerugian wang boleh dicari ganti, rugi dalam sesuatu pekerjaan boleh dipertingkatkan dengan usaha semula dan rugi kerena kemusnahan boleh diperbaiki dan dibangunkan semula.

Masa yang berlalu tidak dapat dicari ganti. Semalam tidak boleh dicipta semula pada hari ini. Peristiwa yang berlaku semalam dan hari - hari sebelumnya adalah tidak sama pada hari ini, esok dan seterusnya.

Masa adalah satu anugerah yang sangat berharga. Oleh kerana berharganya masa, ia diibaratkan seumpama emas, masa itu emas.

Jadi, peliharalah masa dengan sebaik mungkin. Gunalah masa dengan sepenuhnya. Jadilah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan2 kepada kebenaran dan kesabaran, kerana mereka sahaja yang tidak rugi.

Manfaatkan masa yang berharga ini dengan;..

1. Berniat dalam setiap amalan yang dilakukan kerana Allah s.w.t. Setiap amalan itu akan menjadi ibadat dan amal soleh.
2. Merancang perkara - perkara baik yang perlu dilakukan untuk dijadikan amal yang pahalanya sentiasa mengalir semasa dan selepas kita meninggal dunia.
3. Memberi masa yang berharga itu untuk ibubapa. Sekiranya ditanya apakah balasan yang terbaik untuk mereka? Katakanlah, balasan yang termahal untuk kedua ibubapa adalah masa. Mereka tidak mengharapkan wang ringgit atau hadiah yang mahal - mahal.. kerana semua itu tidak semahal masa.
4. Memperbaiki cara hidup kepada yang lebih berakhlak dan berlandaskan ajaran Islam.
5. Bersedia menuju ke alam barzakh. Masa menuju ke alam kematian tidak pernah diketahui bila masanya.
6. Merancang dan berusaha meningkatkan taraf hidup yang lebih baik demi kesejahteraan diri, keluarga dan generasi seterusnya kerana masa muda dan sihat tidak akan berkekalan. Apabila tiba masanya, kita akan tua dan uzur.

Semoga, dengan datangnya tahun baru ini kita akan lebih menghargai masa untuk membina kehidupan duniawi yang bersedia menuju hidup ukhrawi.

19 November 2009

Cenderahati Bekas Pen 80 sen seunit


Cenderahati bekas pen ini sangat sesuai untuk dijadikan cenderahati perkahwinan. Produk ini daripada Indonesia. Harga 80 sen ini hanya untuk stok yang sedia ada. Kalau datang stok baru, harganya biasa dijual RM1 lebih. Kalau berminat hubungi segera...

019-989 5134

16 November 2009

Cenderahati perkahwinan Islam

Sila layari blog ini :

http://islamicweddingsouvenir.blogspot.com

19 October 2009

MENINGKATKAN INGATAN MELALUI TEKNIK MNEMONIK


Secara umumnya, mnemonik adalah alat membantu akal untuk mengingat sesuatu. Perkataan mnemonik (mnemonic) adalah daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘ untuk mengingati’.

Mnemonik telah mula digunakan sejak lebih seribu tahun yang lalu oleh Yunani dan Rom. Bangsa Yunani kuno terlalu memuja kemampuan ingatan sehingga mereka mempunyai dewa yang bernama Mnemosyne, bermaksud '’berfikir dengan teliti’. Pelbagai strategi ingatan dirancang oleh mereka untuk membantu mengingat maklumat, bertujuan menarik perhatian pendengar ketika berpidato atau berdebat di Senat.

Perkataan mnemonik moden merujuk kepada teknik memacu ingatan untuk mengingati fakta- fakta dengan mengaitkannya dengan maklumat dan data sedia ada yang lebih ringkas dan mudah. Beberapa teknik mnemonik moden telah disusun secara sistematik oleh Michael Perssley dan Joel Levin.

Daripada teknik ini, apa yang difahami ialah apabila ia digunakan untuk mengingat sesuatu, proses ingatan akan menjadi lebih mudah. Mnemonik menggunakan prinsip asosiasi, iaitu informasi yang ingin diingati dikaitkan dengan informasi yang lain yang mudah diingat. Antara teknik mnemonik yang biasa digunakan ialah kaedah loci, sistem kata kunci, teknik menghubungkan, teknik akronim dan teknik akrostik.

Selain daripada memudahkan ingatan, teknik ini dirasakan sangat membantu mengingati fakta – fakta yang banyak dan rumit serta meningkatkan input ingatan, mengurangkan tekanan minda dan membantu meluaskan skop ingatan dalam kadar yang maksima.

Dalam proses memahami diri dan orang sekeliling, teknik ini memberi kesedaran kepada saya bahawa kemampuan ingatan sebenarnya dapat ditingkatkan, minda ini dapat mengingati sesuatu lebih banyak daripada yang dijangkakan serta dengan menggunakan teknik yang sesuai akan memudahkan proses ingatan.

Melalui pengamatan saya, didapati ramai yang tidak menggunakan minda untuk mengingati sesuatu dengan sebaik mungkin. Mereka lebih gemar mengingati sesuatu dengan cara hafalan atau merujuk kepada bahan rujukan dan sebagainya tanpa berpandukan kepada apa – apa teknik ingatan. Antara faktor kegagalan tersebut ialah tidak terdedah kepada teknik yang sesuai sedangkan ianya sangat membantu dalam menjalani kehidupan seharian. Selain daripada itu, sikap malas untuk mencuba teknik – teknik yang membantu ingatan juga merupakan salah satu sebab mengapa ramai mempunyai tahap ingatan yang lemah.

Justeru, kegunaan teknik mnemonik pada masa sekarang dan akan datang sangat diperlukan terutama kepada saya sebagai pelajar yang perlu mengingati pelbagai fakta penting. Ada antara fakta tersebut sukar untuk diingati kerana terlalu panjang dan berbagai. Sebagai contoh mudah, dalam mengingati urutan ukuran panjang dalam sistem metrik, saya menggunakan teknik mnemonik dengan menggunakan ayat; Maka Cina Dengan Melayu Duduk Hampir Kilang. Ini adalah teknik akronim bagi urutan ukuran metrik: Milimeter, Centimeter, Decimeter, Meter, Decameter, Hektometer dan Kilometer.

Begitu juga dalam mempelajari bahasa asing, teknik mnemonik sangat membantu mengingati perkataan baru dan ertinya. Sebagai contoh, bagi mengingati perkataan pintu, cermin dan memukul dalam bahasa Arab adalah dengan menggunakan perkataan yang sama bunyinya dengan bahasa Melayu. Jadi pintu (baa-bun) sama bunyinya dengan haiwan babun (babun di pintu), cermin (mer-ah) sama bunyi dengan merah (cermin warna merah) dan memukul (doroba) sama bunyinya dengan nama pemain bola sepak Drogba (Drogba memukul pemain bola).

Manakala dalam menjalani aktiviti seharian, antaranya ketika hendak membeli barangan rumah di kedai, dengan kaedah loci saya membayangkan perkakas di rumah dengan mengikut lokasi kedudukannya bagi membantu mengingati barang - barang yang ingin dibeli. Sebagai contoh, saya membayangkan mesin basuh, dapur masak, sinki, bekas rempah ratus dan peti ais. Ini akan membantu mengingati untuk membeli sabun pencuci kain, minyak masak, span membasuh pinggan, garam dan stok ikan.

Kesimpulannya, ingatan sebenarnya boleh dipertingkatkan sekiranya kita menggunakan teknik yang sesuai. Antara teknik yang sangat membantu itu ialah teknik mnemonik.

14 October 2009

USM dalam coretan kenangan

Banyak sangat kenangan di USM.. tidak disangka - sangka USM menjadi permaidani hamparan seribu satu kenangan. Tidak sangka juga USM melakar sejarah tersendiri dalam melayari hidup ini dan akan terus melayarinya sehingga ke akhir hayat.

Betapa sesuatu itu di dalam perancangan dan takdir Allah. Betapa doa itu adalah kekuatan senjata melawan musuh dalaman diri dan luaran.. dan betapa kekuatan kesabaran dan kesetiaan teruji dan diangkat setinggi kegahan menara gading itu.

Seringkali diingatkan oleh sanubari ini, sesuatu yang sedang berlaku adalah peristiwa yang tidak akan berulang buat sekian kalinya. Sesuatu yang telah berlaku pasti tidak akan sama seumpamanya. Satu kenangan adalah sebuah memori yang tersimpan dalam lipatan catatan perjalanan hidup yang adakalanya persis perut lorong kelam tanpa sedikitpun pancaran cahaya.

Adakalanya coretan perjalanan itu dipenuhi warna - warna pelangi yang menyinar silau, penuh irama - irama gembira, ceria dan bahagia. lagak rentak bahagia tercerna lalu menghapuskan kelam gelap yang seakan tidak mahu terhapus daripada sudut jauh ingatan dan igauan itu, seolah tersingkap tabir lapis gelap dipentas kehidupan.

Kenangan di USM mengimbau helaian - helaian perjalanan manusiawinya kemanusiaan dan harapan - harapan seorang manusia yang berkehendak kepada sebuah mahligai abadi yang ingin dipalit dalam kanvas kehidupan, seindah mahligai kota cinta Agra.

Imbauan pautan ingatan dalam retak hati dan kembang mekarnya bunga kecewa kembali disirami embun kecil di awal sirna mentari, membuahkan bibit bunga kasih yang lebih indah dan terserlah keindahannya.

Imbauan ingatan di USM seolah mengajar erti sebenar nilai kesetiaan, pilihan dan perasaan. Batu - batu keinginan dan kehendak menghempas cermin kasih. Namun, deraian cermin itu terpaut bersama kesan garis - garis retak. Tangan kecil yang datang bersama harapan baru mengutip cebisan cermin yang hampir sahaja tenggelam dalam lumpur silamnya.

Mahligai Cinta abadi Agra tersemi di USM!

13 October 2009

Buku Tafsir Al-Quran 7 dalam 1




Kitab tafsir keluaran Bandung, Indonesia yang menarik. Bahasa mudah difahami, mengandungi pelbagai maklumat berkaitan setiap ayat yang dipaparkan, sama ada maksud perkataan, tafsir ayat, asbab al-nuzul (sebab - sebab penurunan), tajwid, index makna dan index perkataan.

Saya galakkan semua memilikinya sebagai panduan dan rujukan untuk mendapatkan intipati al-Quran dengan lebih mudah dan segera.

Harga pasaran RM 200. Tetapi oleh kerana saya dapat daripada sahabat daripada Bandung sendiri, harganya hanya RM 185.00.

SMS: 019-9895135 untuk penghantaran.

04 October 2009

Wahai Bagan Pinang ...Ini Nikmat Di Bawah Naungan Purnama

Alangkah nikmat dan bahagianya rakyat sebuah negeri yang dipimpin oleh pemimpin - pemimpin yang sejuk mata memandang dan sedap telinga mendengar.

Sejuk mata memandang sikap mereka yang sporting, tawaduk, biasa-biasa sahaja, senang dibawa berbincang. Sejuk mata memandang penampilan mereka yang sangat sederhana. Raut wajah mereka ada cahaya solat. Senyum mereka penuh keikhlasan. Turun bendang, naik rumah usang, papah orang tua, angkat beras, ziarahi orang sakit... sejuk sungguh mata memandang.

Sedap telinga mendengar pembukaan tazkirah mereka dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah. Ceramah mereka dipenuh dengan nasihat takwa dan istiqamah. Sedap telinga mendengar apabila menziarahi orang sakit, mereka pegang ubun - ubun sambil mendoakan kehadrat Allah. Sejuk telinga mendengar bacaan mereka ketika menjadi imam solat berjemaah dan berdoa ketika solat jenazah. Sejuk telinga mendengar...

Inilah nikmat yang tak pernah termimpi 50 tahun lebih dahulu di kedaerahanku... Yan, Kedah. Betapa bersyukurnya apabila diberi peluang oleh Allah menyaksikan semuanya ini dihadapan mata.. bukan di Kelantan yang terkenal dengan jolokan Negeri Serambi Mekah atau jolokan Negeri Tok Guru...tetapi di Negeri Kedah, Negeri Jelapang Padi yang pernah disebut orang sebelah Jeniang dulu: "Tobat Lahom, PAS boleh perintah."

Tak pernah termimpi oleh orang Kedah, lebih - lebih lagi orang Yan.. satu masa nanti Menteri Besarnya akan menjadi imam solat jenazah.Tetapi ianya telah pun terbukti. Orang Yan menjadi saksi, Masjid Pekan Yan menjadi lokasinya, Menteri Besar Ustaz Azizan Razak mengimami jenazah ahli qaryah mereka beberapa bulan dahulu.

Dan peristiwa yang mustahil boleh disusun atur tanpa ketentuan Allah, dan perkara yang amat mustahil berlaku sekiranya Kedah masih dibawah pemerintahan sebelum ini.. seorang YB mengambil bahagian memandikan jenazah!

Bertuahnya abangku allahyarham Ustaz Mohd. Hanif apabila jenazahnya disirami oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan cita - cita Islam..

Bertuahnya orang Yan, orang Parlimen Jerai kerana melantik YB Ustaz Firdaus Jaafar sebagai wakil mereka...

Allahyarham abangku bukanlah seorang pemimpin besar, beliau hanya orang biasa yang diberi amanah kecil, tetapi tetap diraikan oleh pemimpin besar... hebatnya kepimpinan PAS. Mungkin terdapat dalam UMNO?

Berbahagialah anda YB Ustaz Firdaus, atas jasamu menziarahi abangku petang itu, ketika beliau masih mampu berbicara denganmu. Petang itu YB buatkan penawar kepadanya. YB ambil asam jawa dicampur gula, lalu YB bacakan doa. YB suap asam itu ke dalam mulut abang... terima kasih YB.

Berbahagialah anda wahai pemimpin - pemimpin yang sentiasa di dalam doa kesejahteraan daripada rakyatnya. Berbahagialah rakyat dibawah slogan Kedah Sejahtera.

Dalam merasai nikmat di bawah naungan Bulan Purnama di Kedah, terkenang seketika saudara seagamaku, warga Bagan Pinang... sudah sampaikah masanya kalian ingin merasai nikmat seperti kami di Kedah? Siapakah antara dua orang pemimpin hebat itu yang kalian akan panggil ketika musibah dan dia akan doakan kesejahteraan kalian, selain daripada bantuan kebendaan? Siapa antara dua orang itu yang kalian berhajat kepadanya dan perlu menemuinya dirumahnya, sedangkan kalian terpaksa membongkokkan diri terhendap - hendap di pintu pagar mewahnya? Siapakah antara dua tokoh hebat itu yang akan kalian angkat untuk kalian sanjung dan kalian menjadi orang yang perlu menyanjungnya dengan persiapan dan protokol serta surat jemputan walaupun dalam perkara remeh, sedangkan dia kalian yang angkat?

Berbahagialah warga Bagan Pinang kerana ditakdirkan Allah, kalian berpeluang untuk memilih pemimpin.

Semoga Allah kurniakan kesejahteraan untuk kita...


YB Ustaz Mohd. Firdaus Jaafar

26 September 2009

Abangku kembali ke Rahmatullah

Salah satu daripada malam 10 terakhir Ramadhan, malam yang dituntut untuk diisi dengan pelbagai ibadat, untuk bertemu dengan satu malam yang lebih baik daripada 1000 tahun, yang pada ketika itu turunnya malaikat - malaikat dan al-Ruh dengan izin Tuhannya... abangku kembali menemui Penciptanya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jam 12 tengahari 22 Ramadhan handphone berdering, mak di kampung memberitahu yang abangku kelihatan penat lebih daripada hari sebelumnya. Semalam, semalaman langsung tidak dapat tidur, katanya.

Hari - hari sebelumnya abangku seperti biasa, cuma badannya semakin kurus kerana tidak berselera untuk makan, sejak 2 Ramadhan. Hanya bubur lambuk yang diambil daripada surau Kg. Lubuk Boi, Yan yang dijamahnya serta air susu. Pun begitu, abangku melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Masalah kesihatan abang bermula daripada penyakit buasir. Tetapi tidak begitu membimbangkan.

Seminggu sebelumnya abang bawa keretanya ke rumah Pak Omar, Siak Masjid Yan minta anaknya baiki sepenuhnya, mana - mana yang rosak dibaiki. Biar sempurna katanya. Hari selasa ini nak guna untuk pergi ambil ubat. Hari Rabu pula abang ada bagi tahu nak bawa emak pergi ke pondok dengar tok guru baca kitab.

Abang juga ada beritahu emak nak pergi ke KWSP, katanya nak pindah nama 100% ke akaun mak. Mak kata, tengah demam tak payahlah pergi lagi. Abang kata, tak pa, kalau jadi apa - apa nanti senang. Abang ke Sungai Petani seorang diri uruskan KWSPnya.

14 Ramadhan abang dengan mak, pak dan adik2 datang ke rumah berbuka puasa. Seronok sangat apabila dapat berbuka bersama-sama. Walaupun nampak lebih kurus daripada biasa, abang tetap ceria dan bergurau juga. Esoknya, kami sama2 pulang ke kampung Rendang Pasir, Yan. Dalam kereta, abang banyak bercerita tentang usia, kematian dan doa - doa yang selalu diamalkannya. Abang bersungguh-sungguh memberi nasihat mengenai persediaan yang patut ada semasa kita singgah sebentar di dunia ini untuk dijadikan bekalan kelak.

21 Ramadhan, abang tolong tolak kereta jiran di kampung. Walaupun tidak begitu bertenaga, abang gagahkan juga, tetapi banyak melihat daripada menolak. Maklumlah, badan lebih banyak tulang daripada isi. Adik Hafdzi bergurau, katanya: " Kalau jentik badan abang Ni, habis lekang tulang".

Sebaik mendengar khabar daripada mak, memberitahu kesihatan abang tidak baik, kami bergegas pulang ke kampung. Pukul 1 lebih, sampai dirumah. Abang sedang berehat di atas kerusi malas, dengan dilapik tilam dan diletakkan bantal. Abang penat, mak kata.

Kami papah abang masuk dalam kereta, dan bawa ke Klinik Rama di Guar Cempedak. Dato' Dr. Rama, memeriksa kesihatan abang. Katanya jantung abang bergerak kuat sangat. Abang diberi pernafasan melalui mesin oksigen dan diberi ubat sakit jantung. Abang dibawa pulang kerumah.

Sebelum asar, abang berehat atas kerusi malas dengan ditemani oleh mak dan Husnil. Mak buatkan susu untuk abang. Abang minum sesudu.

Hari ini selepas asar, di surau sebelah rumah, Surau Haji Mat Alim, Rendang Pasir diadakan majlis penyerahan bantuan daripada ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Firdaus Jaafar. Ust. Firdaus minta saya menjadi MC majlis. Selepas majlis, saya beritahu YB, abang sakit.

YB datang ke rumah melawat abang. YB kata, abang semasa tamrin baru - baru ini, ok je uruskan majlis. Tiba-tiba kurus sangat. Kami berterima kasih atas jasa YB membuat air tawar & doakan abang.

Petang berlabuh ke malam, abang baring. Abang beritahu, bukan nak semakin baik, katanya. Saya cuma diam dan minta abang banyakkan zikir.

Selepas Tarawikh, semua warga surau menziarahi abang. Malam itu semua adik balik, kecuali abang sulung yang di KL. Kawan abang, Ustaz daripada Pondok Pasir Tumbuh datang bersama kawannya pengamal perubatan Darul Syifa datang melihat abang. Malam itu juga Pak Kassim, seorang pengamal perubatan di Kg. Rendang Pasir, juga melihat abang. Kebetulan mereka datang serentak. Untuk menziarahi abang. Mereka sama-sama mendoakan dan membuat penawar untuk abang. Abang masih seperti petang tadi, berbaring. Sesekali melihat ke arahku, sesekali melihat ke arah adik hamdan disebelah kirinya. Nampak abang kepenatan.

Tetamu yang datang, dijamu dan mereka berbual rancak sehingga tengah malam. Mereka datang untuk melihat kesihatan abang, bukannya kerana abang tenat. Abang cuma penat, sesekali abang bersuara menyambut salam dan berjabat tangan dengan tetamu yang datang.

Ust. Zul, kawan rapat abang dan ust. Mazlan mudir Sek. Agama Faizin Guar Cempedak, berada di rumah sehingga lewat malam.

Pukul 12.30 malam, ust. Mazlan adalah yang terakhir pulang. Abang bersalaman dengannya, ustaz peluk abang dan cium dahi abang sebelum pulang. Ku lihat ustaz memberi kata2 perangsang kepada abang. Abang mengangguk dan bersuara sedikit.

Selepas semua tetamu pulang, lampu ruang tamu ditutup bagi membantu abang tidur. Abang beritahu ingin membuang air kecil. Petang tadi abang pergi buang air besar berjalan sendiri ke tandas. Malam ini kami beritahu, biar kami uruskan, buang air kecil sambil berbaring, guna timba. Adik Hakimi, Adik Hamdan, Adik Hafdzi bersama2 tolong uruskan. Pak dan mak juga tolong uruskan. Kami sempat bergurau dengan abang, suasana ceria seketika.

Selepas selesai membuang air dan dibersihkan. Abang berehat seketika. Saya dan adik Hamdan di sisi kiri kanan abang. Adik Hakimi menuju ke kereta untuk pulang ke rumah mertuanya di Sedaka. Husnil di dapur, Majidah di rumah ibunya, Hafdzi dan pak juga di dapur, Mak sedang memakai telekung di bilik, untuk solat hajat..

Pukul 1.10 pagi, hampir satu pertiga malam 23 Ramadhan, malam ganjil dalam 10 terakhir ramadhan, malam penghulu segala bulan..

Abang beritahu, ingin berehat. Abang minta dibetulkan bantal, tidak selesa katanya. Saya dan Adik Hamdan mengangkat abang, betulkan badan abang, letakkan abang dalam keadaan yang selesa.

Sebaik selesai betulkan kedudukan abang, saya bangun meninggalkan abang. Entah mengapa, terlintas untuk berpaling ke belakang. Sebaik berpaling ke arah abang, saya lihat mata abang melihat ke atas. Kami cepat - cepat menuju ke abang. Adik Hamdan memanggil semua, adik hafdzi berlari ke luar rumah beritahu adik Hakimi yang sudah menggerakkan kereta. Mak yang baru hendak takbiratul ihram datang dalam bertelekung. pak turut datang meluru. Husnil berada di belakang melihat.

Adik Hakimi mengajar ucapan Allah ditelinga kiri abang. Adik Hafdzi di kanan, SAya ditengah. Mak dan yang lain turut sama. Tidak sampai beberapa saat kemudian, abang diam selama-lamanya. Mudahnya Abang meninggalkan kami. Air mata ku lihat di mata abang. Abang seolah - olah tersenyum, meninggalkan kami. Ibu jari kanan abang melekat di jari telunjuknya seolah seperti orang bertahiyyat.

Ku saksikan seorang yang menemui Allah dalam Husnil Khatimah.

Innalillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun....

"Allahummaqfir lahu Warham hu..."

Abangku Ustaz Mohd. Hanif Bin Hj. Ab. Halim, 36 tahun, guru di Sek. Agama Faizin, Guar Cempedak, Yan Kedah. Ketua Pemuda PAS Kg. Rendang Pasir.

09 September 2009

Assalamualaikum just language bro?

Ada kenyataan yang menarik untuk saya bincangkan disini, berkaitan satu pandangan mengenai "assalamualaikum". Katanya ucapan salam itu hanya sekadar bahasa, tidak lebih daripada itu. Ungkapan itu bukan berkaitan dengan agama pun. Hanya satu kata - kata Arab yang diucapkan oleh orang Arab apabila bertemu.Jadi bolehlah sesiapa pun sama ada Islam atau bukan Islam nak beri atau jawab salam.

Apabila saya terdengar kenyataan ini, terfikir juga, belajarkah dia sebelum membuat kenyataan sebegini. Sudah kajikah dalam buku - buku sejarah bahasa bangsa Arab sebelum mengatakan itu ungkapan orang Arab sebelum Islam lagi. Sudah pergikah dia ke negara Arab yang ada orang Arab kristian dan mendengar mereka memberi salam semuanya. Sudah selidikkah dia dengan buku - buku agama berkaitan hukum, tatacara dan adab ucapan salam.

Kalau belum, kenyataan itu hanya kenyataan kosong yang datang daripada sudut pandangan yang kosong juga. Bukannya pendapat ilmiah yang boleh dijadikan modal berhujah. Dan pandangan yang berbentuk 'rasa - rasa saya' inilah yang sangat tak patut ada.. nampak sangat tak berarahkan ilmu. Inilah punca yang membawa kepada kekeliruan dan kesesatan.

Untuk membetulkan kenyataan ini, mari kita selidik:

1. السلام عليكم adalah ungkapan ibadat dalam Islam, diucap selepas membaca tahiyat akhir, dan merupakan rukun dalam solat.

2. Ada tak ungkapan السلام عليكم dalam ibadat agama lain? Dalam agama Arab jahiliyah pun tak ada.

3. Tidak ada perkataan السلام عليكم dalam mana - mana manuskrip Arab sebelum Islam sama ada dalam puisi, sajak, surat, atau teks ucapan.

4.السلام عليكم dimulakan selepas kedatangan Islam & mula diucap oleh orang Islam.

5. Ungkapan السلام عليكم sudah sinonim dengan orang Islam. Kalau kita pergi ke Amerika, dan terdengar orang putih ucap salam kat member dia, kita akan kata, dah confirm orang putih tu dan member dia beragama Islam.

6. Tak ada pasal, orang putih yang kristian nak ucap salam kat member dia yang kristian juga.

7. Ada dengar orang cina bagi salam dekat orang India? Ada... kalau dua - dua tu cina dan India Islam. Kalau bukan Islam, ada dia bagi salam? Mana ada.

8. Orang Arab Kristian kalau dia bagi salam, orang anggap dia orang Islam. Mana dia suka orang anggap dia Islam. Lagi benci adalah. Jadi, logik kah yang mengatakan orang Arab kristian pun bagi salam?

9. Orang Arab Kristian adalah minoriti di kebanyakan negara Arab, mereka akan pastikan yang mereka dikenali sebagai Arab kristian dan bukan Arab Islam.

10. Habis, kalau sudah orang Arab, orang putih, cina, india dan lain - lain yang bukan Islam tak penah pun ucap salam sesama mereka yang bukan Islam juga... masih nak kata السلام عليكم ini "just language bro!"

Jadi, kesimpulannya... السلام عليكم ini adalah satu syiar dan syariat Islam. Tidak boleh dipandang ringan. Ada dalilnya dalam al-Quran dan hadis. Ada hukumnya. Sunat memberi salam, wajib menjawab. Ada rukunnya, iaitu orang yang memberi, orang yang menjawab dan lafaz. Ada syaratnya iaitu Islam dan mumayyiz. Ada sebab - sebab yang dilarang memberi dan menjawab salam. Ada hukum memberi dan menjawab salam berlainan jantina.

Diharap supaya yang membuat kenyataan menganggap السلام عليكم hanya sekadar bahasa berfikir semula dan berusaha mendalami ilmu agama yang sangat luas ini supaya dapat membuat pertimbangan yang lebih wajar tentang Islam.

Islam adalah agama yang sangat indah untuk dipelajari. Pelajarilah ilmu2nya dengan berguru dan bukannya sekadar membaca.

Ramai orang barat sekarang yang meninggalkan agama lama memilih Islam melalui pengkajian mereka, sedangkan ada segelintir daripada orang yang dilahirkan Islam, ingin meninggalkan Islam atau sangat meragui Islam tanpa mengkaji, sebaliknya terpengaruh melalui penulisan tokoh - tokoh barat atau golongan Liberal yang menulis fakta yang tidak tepat tentang Islam.

Mereka tersalah fikir, dan patutkah kita ikut tersalah fikir sedangkan kita punya fikiran untuk berfikir adakah itu fikiran yang betul atau salah? Fikir - fikirkan...

02 September 2009

Tawaran Hebat Di Bulan Ramadhan

Bulan pelbagai tawaran istimewa yang paling dinanti-nantikan telah tiba. Antara tawaran terhebat itu:

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunkan untuknya dosa-dosa yang terdahulu". Riwayat Bukhari.

Dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W memberitahu umat Islam satu berita gembira, tawaran hebat yang ditawarkan oleh Allah. Tawaran itu ialah dosa - dosa yang telah kita lakukan sebelum ini sama ada secara sengaja atau tidak, berpeluang untuk dihapuskan.

Dosa -dosa itu adalah selain daripada dosa besar yang hanya boleh dihapuskan dengan taubat nasuha. Sedangkan taubat nasuha itu pun, tidaklah sukar untuk dilakukan. Kalau dibandingkan dengan agama lain, memohon penghapusan dosa dalam agama Islamlah yang paling mudah dan paling sesuai dengan fitrah manusia.

Cuba bayangkan jika penghapusan dosa perlu dicucuk badan dengan besi , seperti bagi penganut hindu semasa Thaipusam, tentulah melampaui fitrah manusia dan bercanggahan dengan Firman Allah yang melarang merosakkan diri sendiri.

Tawaran seterusnya:

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu." Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Dan ditawarkan lagi :

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang
: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Dan antara tawaran yang sangat kita harapkan ialah doa dimakbulkan:

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."


Tawaran memperolehi rahmat:

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Dengan janji dan tawaran yang hebat ini, tidak sepatutnya kita sia2kan 30 hari yang sangat istimewa ini. Amat rugi bagi mereka yang tidak peka dengan tawaran sebegini.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

13 August 2009

Salam 1 Malaysia


..." Salam sejahtera, salam 1 Malaysia", ungkapan yang diucap oleh seorang pembaca berita TV RTM.

Agak-agaknya, salam ni dituju kepada siapa? Kalau dituju kepada penonton bukan Islam, salam sejahtera dah memadai, atau sebut sahaja salam 1 Malaysia, habis cerita. Kalau nak dituju kepada penonton yang muslimin dan muslimat, kan ke lebih baik guna "assalamualaikum...." dapat juga pahala yang memberi dan menjawab.

Agaknya, daripada aliran mana datangnya idea memberi salam style baru ni? Malang sungguh, orang menuju ke hadapan, yang media ini tarik gear gostan, undur belakang.

Ungkapan salam yang pelik-pelik ni sebenarnya dah ketinggalan zaman. Kalau dulu, selepas merdeka, ada tercatat ungkapan "salam merdeka". kalau dulu - dulu beri salam depan rumah, orang kata orang minta sedekah datang, sekarang orang bukan Islam pun beri salam. Cikgu hendry kat sekolah saya selalu bagi salam, satu fenomena yang tak pelik langsung.

Yang peliknya, diubah daripada ungkapan yang dapat pahala ni kepada ungkapan kosong pahala, itu yang tersangat pelik. Bertambah pelik, dicipta oleh orang islam sendiri.

Salam ni syariat, bukan kata - kata orang Arab. Orang Arab sebelum Islam dan yang bukan Islam sehingga sekarang ni tak beri salam, mereka ucap "sobah al-Khair", "Sobah al-Nur"...

Jadi, kalau pun nak promosi 1 Malaysia, salam janganlah dihapuskan... janganlah dicipta dan mempromosi satu "sunnah baru", nanti mencalar syiar Allah..

12 August 2009

Kualiti Khutbah Jumaat Di Masjid Universiti

gambar hiasan

Sepertimana yang dimaklumi, khutbah adalah juzuk daripada solat jumaat dan rukun yang menyempurnakan solat fardhu tersebut. Tanpa khutbah, tidak akan berlakunya solat Jumaat. Khatib yang dipertanggungjawabkan menyempurnakan ibadat ini mempunyai tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kesempurnaan ibadat ini.

Justeru, khutbah solat Jumaat adalah semestinya dilaksanakan dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Khatib yang menyampaikan khutbah perlu dipilih daripada kalangan yang sewajarnya layak dan mempunyai kemampuan menyampaikan khutbah. Khatib perlu mampu memberi kefahaman kepada jemaah apa yang ingin disampaikan, perlu betul bacaan ayat – ayat al-Quran, perlu lancar bacaan doa dan perlu bersedia menyampaikan khutbahnya.

Memandangkan universiti adalah pusat ilmu teratas dan tertinggi, segala yang berkaitan dengan keilmuan akan menjadi mata pandang warga dan persekitarannya. Di sini nadi keilmuan dan pusat lahirnya generasi ilmu. Manakala khutbah jumaat adalah cetusan keilmuan itu.

Adalah malang apabila, khutbah yang disampaikan di Masjid sebuah universiti terkemuka di Malaysia disampaikan oleh seorang khatib yang dijemput sempena satu peristiwa tertentu yang sangat gagap ucapannya, tidak lancar sebutannya, lontaran kata – kata yang tersekat – sekat, menyekat kefahaman jemaah memahami isi kandungan teks khutbah itu. Bacaaan doa yang sangat lari maknanya, tidak betul sebutannya, menyebabkan ramai jemaah khususnya pelajar timur tengah yang menggelengkan kepala. Situasi yang sangat memalukan bagi sebuah institusi keilmuan dan dibawah garis status masjid di kampung - kampung.

Agaknya, kenapa khutbah di universiti yang digelar sebagai menara gading, gedung ilmu dan beberapa lagi gelaran hebat - hebat mesti dibaca dan bukan datang dari minda khatibnya? Lemah sangatkah para khatib itu untuk melontarkan ucapan dari akal mereka sendiri? Takut sangatkah mereka untuk mengucapkan seruan ketaqwaan dan nasihat kepada para jemaah dari pandangan sendiri? Tandus sangatkah tokoh - tokoh ilmuan di sana?

Kalau begini keadaannya, bolehlah kita labelkan khutbah di masjid universiti ini sama dengan masjid di kampung saya kat hulu sana tu : "khutbah Jumaat Dibaca Untuk Dodoikan Jemaah Tidur".

03 August 2009

Buku 130 Persoalan Solat Jamak Qasar

Semalam saya promosi buku ni kat mudah.com, baru je letak, pagi tadi pukul 8 dah ada orang call minta di poskan.

Sebenarnya masalah solat jamak qasar ni memang banyak yang bertanya. Jadi memang patutlah semua kena ada sebagai rujukan. Saya sendiri pun jadikan buku ni sebagai rujukan kalau ada yang bertanya.

Jadi, saya cadangkan semua yang kunjung blog ni kena simpan sebuah sebagai panduan. Jangan biarkan kita keliru dengan syariat yang memudahkan dan anugerah Allah yang istimewa untuk kita.

Lihat gambar di bawah untuk mengenal macamana bentuk buku tu :)

02 August 2009

Ada masalah dengan Solat Jamak Qasar?

Selalu juga saya ditanya dengan pelbagai persoalan berkaitan solat jamak qasar. Ada sesetengah soalan itu yang susah juga nak dijawab, almaklumlah soalan jenis canggih - canggih.

Baru - baru ini, saya bertemu dengan Ustaz Muslim, ditunjuknya sebuah buku terkini yang menjelaskan berkaitan pelbagai persoalan dan masalah solat jamak qasar yang menjadi tanda tanya ramai orang.

Sebaik sahaja saya melihat isi kandungannya, terus saya minta beli. Menarik sangat, jawapan kepada pelbagai persoalan yang diketengahkan merangkumi banyak masalah terkini.

Contohnya, macamana nak kira sempadan daerah bagi orang yang tinggal di kawasan perumahan yang besar seperti di Presint - presint kat Putra jaya? Boleh tak solat jamak bagi orang yang ditugaskan menjaga peti undi, doktor bedah, polis trafik? Boleh tak solat jamak qasar di rumah mak mertua? dan macam - macam lagi soalan yang sangat menarik.

Untuk menarik pembaca, diselitkan sedikit seloka lucu bergambar yang pada saya menjadikan bahan ilmiah lebih santai dan mesra perasaan :)

Mengenai kandungan dan hukum yang diketengahkan, semuanya adalah berpandukan kepada fatwa, kitab muktabar, ulama hebat dan rujukan disertakan untuk panduan. Jadi, jangan bimbang kalau - kalau tersesat atau lari daripada syarak.

Menurut ustaz Muslim, buku yang ditulis oleh dua orang sahabatnya tu, dah diulang cetak dan terjual 2000 naskah.

Buku ini tak ada dijual di pasaran, ustaz penulis tu jual sendiri - sendiri. Jadi kalau pi ke kedai buku tak ada buku ni sebab penulis tidak mengedar melalui mana - mana penerbitan.

Saya sarankan setiap orang memiliki buku ini, kerana saya yakin setiap orang akan bermusafir, berjalan atau menghadapi satu situasi yang perlu kepada solat jamak qasar.

Kalau nak buku ni, sms 0199895134 @ email saya. Saya boleh tolong dapatkan. Insyaalah.

Harga? Kat kulit buku tu tulis RM 12 saja... murah sangat kalau nak banding dengan novel cinta yang harganya 50 lebih :)






30 July 2009


Semalam seorang lagi warga Malaysia meninggal kerana dijangkiti penyakit yang sedang menular sekarang, selsema babi atau nama sedapnya H1N1. Menjadikan jumlah yang telah meninggal seramai 4 orang. Ada orang kat kampung saya panggil selsema "hini", sebab tersalah baca agaknya.

Sebelum ini pun rata - rata orang kat kampung kat Jeniang nuu panggil demam chikungunya sebagai demam Cikgu Ya, senang sebut katanya.

Apapun penyakit yang sedang berkembang biak bilangan pengidapnya tu adalah satu wabak dan musibah yang sedang berlaku di seluruh dunia sekarang ini.

Tapi melihatkan kepada situasi masyarakat dan hebahan media, penyakit ini tidak sangat mengundang rasa takut kepada orang ramai. Kedai - kedai makan khususnya kedai mamak yang ada antaranya mengimport pekerja dari benua India, tetap penuh sesak. Kedai tomyam masakan Thai yang berderet di tepi - tepi jalan tetap bergemerlapan di waktu malam, setia dikunjungi oleh para pelanggannya. Pusat -pusat membeli belah yang besar - besar tetap dipenuhi pelbagai etnik saban hari.

Pendek kata, orang awam tidak langsung rasakan bimbang berada di persekitaran sesak dan bercampur gaul dengan pelbagai jenis umat manusia.

Rasulullah S.A.W telah mengajar kita cara - cara menangani wabak yang berlaku. Antara perkara yang perlu kita lakukan ialah sentiasa berdoa memohon perlindungan dan dijauhkan daripada menimpa kita. Selain daripada itu, adakan solat hajat secara berjemaah disetiap masjid, surau secara berterusan, bersungguh2, banyakkan bangun malam melakukan qiam, elakkan daripada terdedah dengan persekitaran yang memungkinkan penyebaran wabak dan berusaha menjaga kebersihan diri jasmani dan rohani, najis dan hadas.

26 June 2009

Teman Yang Sejati

Sukar mencari
Susah di dapati
Payah ditemui

Kalau dah jumpa...
Jangan biaq...
Jaga elok - elok

06 May 2009

Penanaman cili Fertigasi


Oleh kerana sekarang ni banyak masa di kampung, sambil mencari idea untuk menulis tesis, ruang masa yang ada ini berpeluang juga belajar menanam pokok cili fertigasi. Selalu sangat dengar mengenai penanaman ala - ala orang malas ni, terasa nak mencuba.

Cara belajarnya senang saja, nanti terangkan ye. Sebelum itu, nak beritahu yang pokok cili yang ditanam tu dah mula berbuah, pokok tomato pula dah mula berbunga. Seronok juga hari - hari tengok pokok - pokok tu membesar dan mendatangkan hasil. Terasa betapa besarnya rahmat Allah dan kekuasaanNya yang menjadikan daripada benih - benih yang ditanam itu pohon - pohon buah- buahan yang pelbagai rasa, warna dan bentuknya.

Terfikir juga, pokok cili yang ditanam dalam beg plastik itu, dari mana datangnya rasa pedasnya, kan? Nak kata saya letak perasa pedas, tak pula. Nak kata saya letak baja khas untuk memedaskannya.. baja yang sama juga digunakan untuk pokok tomato, tak pula pokok tomato tu jadi pedas :)

Nantilah nak tanya pakar saintis pokok cili, macamana buah cili boleh jadi pedas. Kalau mereka dah ada rahsia kepedasannya itu, nanti nak cuba minta pakar saintis tu cuba buat buah rambutan jadi pedas pula, nak tengok, boleh buat ke tak.

Berbalik kepada cerita kaedah penanaman fertigasi, kaedah ini sangat mudah dan tidak perlu banyak tenaga dan usaha, sangat simple dan semua orang boleh buat. Kaedah yang paling mudah, tidak membazir dan tumbuh dengan suburnya.

Begini caranya, saya pergi ke pusat penghasilan benih fertigasi di Kota Sarang Semut, beli anak benih yang siap ditanam dalam beg plastik yang mengandungi campuran sekam dan baja tertentu, harganya Rm1.50 sahaja. Tak perlu susah - susah nak sediakan anak benih, dan campuran sekam tu. Buang masa saja, dan mengotorkan tangan yang lembut gemalai ini.. Kemudian beli baja A & B dan racun serangga.

Balik ke rumah, susun anak benih di bawah pokok cempedak yang rimbun, tak perlu buat bumbung jaring - jaring hitam tu yang bertujuan mengelakkan tertimpa air hujan dan panas terik. Daun Cempedak mampu mengambil alih tugasan bumbung jaring tu.

Untuk elakkan pokok muda daripada patah, tumbang dan condong akibat angin, letakkan lidi penyapu di kiri kanan anak pokok sebagai sokongan. Free je lidi ni, ambil dari penyapu. Kuruslah penyapu yang digunakan untuk menyapu laman rumah :)

Ada yang letakkan plastik hitam sebagai alas beg plastik pokok cili. Tujuannya untuk elakkan tumbuh rumput. Oleh kerana tak ada rumput kat tempat tu, tak payah beli plastik tu, jimat lagi.

Baja A&B dicampur dengan air dan disiram 2 hari sekali waktu pagi. kalau hujan, off duty. Esok je siram. Baja ni tak boleh kena daun ye.

Tentang racun serangga, sembur 3 hari sekali. Kalau malas, sembur bila nampak daun ada gangguan makhluk asing.

Akhir sekali, kalau rasa tak ada siapa nak sembang, jengok - jengoklah anak - anak cili kesayangan hari - hari, bertanya khabar, ajak berborak...

Dalam tempoh 3 bulan lebih kurang, bolehlah memungut hasil.

Kalau anda terasa nak manfaatkan masa dan ruang rumah yang kosong tu, elok - eloklah tanam pokok secara fertigasi ni. Cili sekarang ni mahal, sekilo mencecah RM7. Kalau sekali tuai, dapat 10 kilo, dah RM70. Kalau 100kg, RM700, kalau 1000kg dah Rm7000, kalau sejuta kilo, dah tujuh juta..kaya...kaya :) lebih kaya dari tokey jual sekaya.

Selamat berangan menjadi orang kaya cili... :)









24 April 2009

Masuk Syurga Tetapi Tidak Pernah Solat, Puasa & Lain - Lain Ibadat


Suatu ketika ketika Rasulullah s.a.w. sedang bersiap di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda s.a.w. Beliau rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah s.a.w.

Amar berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Semasa kaumnya menyerunya kepada Islam, dia menjawab, "Kalau aku tahu kebenaran yang kamu kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar. Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang, dia segera menemui Rasulullah s.a.w. , menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Pedangnya yang tajam ikut dibawanya.

Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira, tambah pula rela untuk mara bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya.

Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia jatuh pengsan.

"Untuk apa ikut ke mari ya Amar?" Demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka menyangka Amar masih belum Islam. Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah s.w.t. akan memberikan syahidah padaku dalam waktu yang tidak lama lagi."

Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid. Sewaktu hal ini diketahui Rasulullah s.a.w. , maka Baginda s.a.w. pun bersabda: "Amar itu nanti akan berada dalam syurga."

Kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, kerana di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a, sahabat yang banyak mengetahui hadith Rasulullah s.a.w. berkata kaum Muslimin, "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah sekalipun bersolatterhadap Allah s.w.t." "Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahu, itulah dia Amar bin Thabit."

Demikianlah kisah seorang yang istimewa, memasuki syurga sedemikian indahnya. Dia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, kerana dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Rasulullah s.a.w.. Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang, sebagai mujahid yang berani. Akhirnya mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid. Mati membela agama Allah s.w.t. di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid. Rasulullah s.a.w. menjamin syurga bagi Amar.

17 April 2009

Imam Ar-Razi (250-311H / 864 - 923 M)


Beliau ialah Abu Bakar Muhammad bin Yahya Bin Zakaria Ar-Razi. Dilahirkan di bandar Ar-Ray di Khurasan (kini terletak di timur bandar Tehran). Ar-Razi banyak menitikberatkan pengajian tentang falsafah, bahasa dan matematik sejak kecil lagi.

Selepas umurnya menjangkau lebih 30 tahun, Ar-Razi telah pergi ke Baghdad dan memulakan pengajian kedoktoran di sana dengan azam dan semangat yang kuat. Setelah itu beliau menjadi ketua Hospital Al-Adudhiy di Baghdad. Setelah beberapa ketika, beliau kembali semula ke Ar-Ray kemudian memegang jawatan sebagai ketua Doktor di Hospital Diraja yang terdapat di sana. Ar-Razi mula terkenal dan tersebar ke seluruh negara.

Ar-Razi telah berjaya membuat beberapa penemuan baru dan rekaan di dalam lapangan kedoktoran dan kimia di antaranya:
* Penemuan benang luka pembedahan dari usus kucing.
* Penemuan cara menggunakan benang untuk menjahit luka.
* Beliau adalah orang pertama yang mengasingkan di antara orang yang menghidap penyakit cacar dan rubela.
* Orang yang membuat salap dari raksa iaitu sejenis ubat yang digunakan secara sapu.
* Mengubat penyakit batuk kering atau tibi melalui proses pemakanan iaitu secara memberi minum susu yang dimasukkan gula.
* Orang yang pertama mengasingkan farmasi dari bidang kedoktoran.
* Orang pertama yang memasukkan kimia di dalam perkhidmatan perubatan.

Di samping itu, beliau juga merupakan perintis yang membuka farmasi kimia. Dengan demikian beliau muncul sebagai:
* Orang yang pertama menghasilkan alkohol dari perahan bahan yang mengandungi gula.
* Orang yang pertama menghasilkan asid sulfurik melalui proses penyulingan sulfat besi.

Ar-Razi telah kehilangan penglihatannya di saat-saat akhir usianya kerana beliau terlalu banyak membaca pada waktu malam. Di antara cerita aneh yang pernah berlaku sebagaimana yang pernah diceritakan, di mana pada suatu hari beliau didatangi oleh seorang doktor untuk melakukan pembedahan pada kedua-dua belah mata beliau supaya dapat mengembalikan semula penglihatan beliau. Sebelum doktor tersebut memulakan pembedahan, Ar-Razi menanyakannya tentang bilangan lapisan bahagian sel mata. Mendengar pertanyaan tersebut doktor tersebut terkejut dan terus terdiam. Lalu Ar-Razi berkata kepadanya: "Sesungguhnya sesiapa yang tidak dapat menjawab pertanyaan ini, dia tidak sepatutnya memegang peralatan pembedahan dan bermain dengan peralatan tersebut pada mata saya".

Ar-Razi telah meninggalkan berbagai kitab karangan beliau yang menjangkau 230 buah karangan di dalam pelbagai ilmu. Di antara kitab yang paling terkemuka yang ditinggalkan oleh Ar-Razi ialah: Kitab Al-Hawi Fi At-Tib, Kitab Al-Mansuri Fi At-Tib, Kitab Al-Judari Wal Hasbah (iaitu Cacar dan Rubela), Kitab Bar'u As-Saa'ah (Sembuh Segera), Kitab Man La Yahdhuruhu At-Tabib (Orang Yang Tidak Mendapati Doktor), Kitab Sirr Al-Asrar (Rahsia Segala Rahsia) di dalam bidang kimia dan Kitab At-Tadbir (Pengelolaan) juga di dalam bidang kimia.

Di antara mutiara kata beliau:
* (Berubatlah pada peringkat awal menghidap penyakit sebelum parah sehingga tidak mampu menanggung kesakitan, dengan menggunakan sesuatu yang telah disepakati oleh para doktor, telah diketahui oleh masyarakat umum, kamu telah membuat percubaan serta telah terbukti di hadapan kamu).
* (Sekiranya seseorang doktor boleh berubat dengan menggunakan sistem pemakanan tanpa menggunakan ubat maka tindakan sedemikian adalah bertepatan dengan falsafah kebahagiaan).
* (Sepatutnya pesakit hanya berubat melalui seorang doktor yang dia percaya sahaja kerana kesilapannya jika nak dibandingkan dengan ketepatannya kemungkinan berlaku terlalu sedikit).
* (Umur tidak memadai untuk mengetahui khasiat tentang sesuatu tumbuhan yang hidup di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian kamu hendaklah memilih tumbuhan yang telah terkemuka sebagaimana yang telah disepakati oleh golongan doktor, jangan hiraukan sesuatu yang pelik dan tumpukanlah perhatian kepada apa yang telah kamu cuba).
* (Kebenaran di dalam falsafah kedoktoran adalah merupakan suatu matlamat yang dapat dicapai dan mengubat penyakit dengan hanya berpandukan kepada buku tanpa menggunakan kemahiran seorang pakar adalah merupakan suatu tindakan yang sangat berbahaya).

13 March 2009

Sambutan Maulidur Rasul




Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) mengingatkan umatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya :

"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31)

Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah daripada perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w). Begitu juga perasaan taat, ingat, ingin mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda, sebagaimana Allah bangga terhadap baginda dengan memuji baginda didalam Al-Quran:

"Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)

Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda:

"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya."

Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah (s.a.w) bersabda:

"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri."

Dan Sayyidina 'Umar berkata: "Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri".

Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) dan para Malaikat sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat al-Quran yang berbunyi:

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56).

Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan:

"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya".

Rasulullah (s.a.w) memberitahu bahawa hari Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda. Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa baginda bersabda:

"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul."

Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan".

Peristiwa yang termaktub didalam hadith termasuklah gegaran yang dirasakan di istana 'Chosroes' dan padamnya api yang telah menyala selama 1000 tahun di Parsi dan beberapa peristiwa-peristiwa lain yang ditulis didalam karangan Ibnu Kathir, al-Bidaya, Jilid 2, mukasurat 265-268.

Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261): "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam.

Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda:"Hari itu adalah hari kelahiranku".

Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda:"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim.

Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku."